Tuesday 14 January 2014

Comel Is My Pet 20



SHASHA hanya diam merenung wajah Nan tanpa berkelip mata. Dahinya berkerut dan wajahnya sejak sepuluh minit yang lalu diseliputi kerisauan. Kek coklat kegemarannya yang baru saja dihidangkan oleh pelayan tidak diusik langsung.
            “Kau kenapa, Nan?” akhirnya terkeluar juga suara Shasha. Dia dah tak boleh tahan dah. Sungguh risau hatinya apabila melihat kelakuan sahabatnya yang tak berapa nak betul sejak dia sampai di Secret Recipe itu.
            Nan hanya menggelengkan kepala menjawab soalan Shasha itu. Dia tahu Shasha tengah pelik dan risau dengannya tapi dia tidak dapat menahan diri. Sejak dari tadi lagi, bibirnya tidak sudah-sudah tersenyum lebar dan tersengih-sengih. Sekejap tersenyum, kemudian tergelak kecil dan sekejap lagi tersegih kembali seperti kerang busuk.
            “Eh, Nan serius! Kau kenapa?” Geram Shasha dibuatnya apabila Nan tidak menjawab soalannya.
            Nan sekali lagi menggelengkan kepala sebelum melemparkan senyuman, menayangkan giginya yang putih bak iklan colgate. Kemudian, dia tergelak kecil.
            “Parah kau, Nan! Parah! Kau memang dah parah tahap kritikal sekarang ni. Aku rasa wayar dalam kepala kau tu dah tercabut atau mungkin fius otak kau dah meletup. Wei, bahaya! Jom ikut aku cepat! Ikut aku jumpa doktor pakar sakit jiwa sebab jiwa kau tengah bermasalah sekarang ni.” Shasha semakin risau tetapi dalam masa yang sama sedang memerli kawannya yang sememangnya macam orang tak betul.
            “Hei, rileks beb! Aku okey la, jangan risau. Don’t worry just be happy! Kita hidup mesti sentiasa happy, bukan?” Sekali lagi Nan tergelak kecil tetapi kali ini gelak tawa Nan semakin kuat dan semakin besar sehingga menarik perhatian orang di sekeliling.
            Shasha semakin tidak senang duduk. Sungguh dia risaukan Nan yang tengah enak ketawa tetapi yang lebih merisaukan adalah apabila orang sekeliling yang berada di dalam restoran itu sudah memandang pelik ke arah mereka berdua. Haish! Janganlah dia orang label kami berdua ni sebagai pesakit gila yang terlepas dari Tanjung Rambutan. Uish! Haru haru haru!
            “Nan! Sudah-sudah la tu. Kau ni ketawa tak ingat dunia kenapa? Takkan la kau nak ajak berjumpa semata-mata nak aku tengok kau yang dah berubah jadi pesakit mental?” Shasha merengus tidak puas hati. Sudah la aku baru sampai dari Paris. Ingatkan nak call Nan untuk beritahu yang aku dah sampai Malaysia je tapi tak sangka pulak Nan ajak jumpa. Lagi tak sangka dengan perubahan Nan yang dah tak berapa betul ni. Ugh!
            “Okey okey okey! I’m sorry tapi aku tak dapat tahan diri aku daripada ketawa.” Nan kembali menghamburkan gelak.
            Shasha mengigit bibir. Geram betul dia dengan Nan. Tegurannya langsung tidak dapat mengeluarkan Nan daripada dunia yang diciptanya sendiri. Geram dengan Nan yang langsung tidak berhenti ketawa, Shasha memukul bahu Nan sekuat hati dengan majalah yang digulung.
            “Aduh! Sakitlah, Shasha! Boleh patah bahu aku tahu. Tak pasal-pasal kau berkawan dengan OKU nanti.” Wajah Nan cemberut dan mulutnya sudah muncung.
            “Tak payah patahkan bahu kau pun aku memang dah berkawan dengan OKU. Sejak dari tadi tak berhenti-henti ketawa. Tersenyum macam orang gila dan lepas tu tersengih-sengih.”
            Nan mencebik sebelum menjeling tajam Shasha yang berada di hadapannya.
            “Kau kenapa? Perkara apa yang tengah bermain dalam minda kau sampai kau geli hati sangat ni? Cuba cerita sikit.” Shasha merenung tepat anak mata Nan.
            Nan kembali tersenyum sebelum menegakkan badan. Badannya dirapatkan ke hadapan dan sekali lagi dia tergelak kecil.
            “Kau tahu tak Shasha…”
            “Tak! Aku tak tahu apa-apa pun.” Shasha mencelah membuatkan Nan merengus kasar seraya menampar tangannya. Shasha terjerit kecil sambil tersenyum.
            “Disebabkan kau tak tahu la aku nak cerita sekarang ni. Jangan menyampuk boleh tak?”
            “Yalah! Hah, cerita cepat.” Shasha kembali menumpukan sepenuh perhatian kepada Nan.
            “Kau nak tahu tak Shasha, hari ni aku sangat sangat sangat gembira!”
            “Sebab?” Shasha mengerutkan dahi.
            “Tadi pagi aku telah jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang isteri mithali.” Nan kembali tersengih-sengih.
            “Pardon?” Sebelah keningnya diangkat tinggi memandang Nan. Aku tak salah dengar ke? Eh, kejap! Nan dengan Arel dah berbaik ke?
            “Tadi pagi Arel suruh aku buatkan sarapan untuk dia and I did! Aku masakkan dia nasi lemak dan karipap. Itu semua permintaan dia dan aku turuti dengan senang hati.” Senyuman di bibir langsung tidak mati. Semakin lebar senyumannya apabila melihat wajah bingung Shasha.
            “Hah?” Aku dah makin bingung! Nan masakkan untuk Arel? Sejak bila pulak Nan pandai masak? “Kau yang masak ke Nan?”
            “Yep! Mestilah aku yang masak.”
            Okey… Nan yang masak. Walaupun pelik dan amat menghairankan tapi… kenapa memasak untuk Arel membuatkan Nan gembira.
            “Selama kita tinggal bersama, hanya sekali je kau masak Nan dan masakkan kau tu sememangnya tidak layak untuk dimakan oleh manusia,” perli Shasha membuatkan gadis itu menjeling tajam.
            “Boleh tak jangan mengutuk aku? Kau nak aku berubah jadi The Hulk ke?” Nan memeluk tubuh sambil membuang pandang ke arah lain. Marah dan kecil hati dengan Shasha.
            “Bukan mengutuk tapi itu kenyataan. Tapi bukan itu yang buatkan aku bingung sekarang ni, aku tengah bingung kenapa pula kau gembira sangat memasak untuk Arel? Lagi satu, korang berdua dah berbaik ya?”
            “Aku dengan dia berbaik? Nope! Kita orang ibarat air dengan minyak. Sampai bila-bila pun tak akan ngam.” Nan menghirup sedikit jus epalnya sambil memandang wajah Shasha.
            “Lepas tu?” Shasha mengerutkan dahi.
            “Lepas two mestilah three. Eh, kau ni! Kau gagal pelajaran matematik ya dulu?” seloroh Nan. Terjerit kecil dia apabila Shasha mencubit lengannya kerana geram.
            “Ceritalah betul-betul, jangan main-main!”
            “Okey okey okey! Jadi tadi pagi aku masakkan la dia nasi lemak dan karipap. Aku siap jemput dia dan sendukkan dia semua lauk tu dalam pinggan dia, tahu! Pendek kata, aku layan dia macam putera raja la.”
            “Biar betul? Kenapa pulak kau nak buat baik dengan musuh ketat kau tu?”
            “Baik ada makna tu.” Nan tergelak kecil.
            “Apa yang kau dah buat?” Shasha semakin ingin tahu. Entah kenapa dia dapat rasakan Nan punya agenda sendiri berbuat baik dengan Arel.
            “Sebelum aku jawab soalan kau tu, aku nak bagitahu kau yang Arel dengan sepantas kilat terus meluru masuk ke dalam tandas bila makan semua masakan aku.” Kali ini Nan sudah tergelak sakan malah sambil menepuk-nepuk meja. Semakin senak perutnya kerana ketawa apabila mindanya kembali berputar laju tentang kejadian di rumah tadi pagi.
            “Kau ke yang masak semua ni?” soal Arel dengan perasan ragu-ragu.
            “Lah… kau yang suruh aku sediakan sarapan untu kau kan? Mesti la aku yang masak semua ni,” jawab Nan dengan suara yang mendatar.
            “Boleh percaya ke kau yang masak semua ni?” Arel masih lagi dengan perasaan curiganya. Bukannya apa cuma bau masakan Nan saja sudah cukup membuatkan dia berselera. Sebagai seorang cef yang terkemuka dan berpengalaman, dia dapat agak yang masakan Nan itu sedap rasanya. Mungkin?
            “Kenapa tak nak percaya pulak?” soal Nan lagi tanpa rasa marah. Buat apa pulak dia nak marah sebab dia sendiri sukar nak percaya dengan kebolehannya untuk memasak hari ini. Dia yang tidak ada selera juga terus lapar apabila terhidu bau masakan yang dimasaknya itu.
            “Mana la tahu kau buat pesanan makanan dari restoran lepas tu buat-buat kau yang masak.” Ujar Arel lagi sekadar untuk menyakitkan hati Nan.
            “Suka hati kau la nak fikir apa. Kalau kau nak kau makan, kalau kau tak nak aku tak paksa.” Nasi lemak yang disendukkan ke dalam pinggan dihulurkan kepada Arel dengan riak wajah yang kosong.
            Kedua-dua belah kening Arel pula sudah terangkat. Pelik apabila Nan sudah sedia menyendukkan dia nasi lemak. Tanpa rasa ragu, dia menyambut huluran Nan itu dan mula membaca doa makan. Baru sesuap sudu yang masuk di mulut, mata Arel membulat. Tidak sempat mengunyah, dia terus menelan.
            Nan pulak sudah tersenyum nipis. Ketawa yang ingin dihamburkan ditahan.
            “Apa yang kau letak dalam nasi lemak kau, hah?!” Dengan pantas dia meneguk air Nescafe sehingga separuh gelas.
            “Lah… aku masak macam biasa je tapi aku rasa aku terlebih masukkan lada hitam kut? Sebab waktu aku tengah bubuhkan lada hitam tadi, penutup botol terbuka jadi habis satu isi lada hitam tu termasuk dalam masakan.” Nan memberikan penerangan dengan selamba.
            “Habis satu botol lada hitam? Kau nak bagi aku mampus ke?! Mana ada orang letak lada hitam dalam nasi lemak!” Jerit Arel sambil merenung tajam wajah Nan yang langsung tidak menunjukkan rasa bersalah.
            Nan hanya menggelengkan kepala. Tak! Aku belum nak bagi kau mampus lagi tapi tunggu dulu kau makan karipap aku. Nan sudah ketawa jahat di dalam hati.
            “Itu tu kemalangan semasa sedang memasak sambal nasi lemak tu je. Kau makan la karipap tu sebab sepanjang aku goreng karipap, tiada kemalangan yang berlaku.” Nan memberikan senyuman yang lebar dan penuh plastik kepada Arel yang dilihatnya sedang cuba untuk menenangkan diri.
            Tanpa rasa was-was, Arel menyuap pulak karipap itu ke dalam mulut. Sebaik saja inti karipap itu menyentuh lidahnya, matanya terbeliak dan makanan dengan pantas dimuntahkan keluar. Tangan Arel laju mencapai segelas air Nescafe yang sudah pun dipenuhkan oleh Nan. Dengan rakus, Arel minum habis segelas air itu sebelum memandang Nan dengan wajah yang jelas merah padam dan mata yang terbakar dengan api kemarahan.
            “Kalau kau nak tahu, aku letak tiga paket wasabi dalam inti karipap tu.” Nan tersenyum lebar dengan penuh sinis kepada Arel.
            Belum sempat Arel membuka mulut, perutnya pulak memulas. Dengan pantas, dia terus berlari ke tandas di sebelah dapur.
            “Lagi satu, aku letak julap dalam air Nescafe tu.” Jerit Nan sebaik saja pintu tandas ditutup. Ketawa yang ditahan sejak dari tadi akhirnya terhambur juga. Senak perutnya dan mengalir air matanya kerana terlampau banyak ketawa. Yes yes yes! Aku dah dapat kenakan Arel!
            “Comel!!!” Bergema suara Arel yang menjerit nama Nan dari dalam tandas.
            “Kau gila ke, Nan?!” jerit Shasha apabila mendengar cerita Nan itu.
            Nan pulak langsung tidak mengendahkan Shasha sebaliknya dia hanya terus ketawa dan ketawa tanpa henti.
            “Kau nak bunuh suami kau tu ke, Nan?!” jerit Shasha lagi sehingga semua mata di dalam restoran itu memandang ke arahnya. Tetapi dia tidak peduli kerana baginya perbuatan Nan itu keterlaluan.
            “Tak akan mati punya! Yang penting aku dah berjaya kenakan dia. Aku happy!”

USAI saja mengunci pintu rumah, Nan bergerak menaiki anak tangga satu persatu. Tiba di tingkat tiga, dia terserempak dengan Arel.
            “Hai,” sapa Nan sambil mengangkat tangan kanannya kepada Arel. Arel langsung tidak membalas malah menjeling tajam ke arah Nan yang masih lagi tercegat di depan tangga.
            Nan mencebik. Eleh, sombong! Seketika kemudian, bibirnya mengukir senyuman.
            “Yang kau senyum-senyum tu kenapa?” soal Arel dengan nada suara yang lemah tetapi keras.
            Nan tidak mematikan senyuman malah senyumannya semakin lebar apabila ditegur oleh Arel. Pucat sungguh wajah Arel. Kalau sebelum ni wajahnya putih macam Nichun, sekarang ni pucat macam Robert Pattinson la pulak. Sesuai jadi vampire!
            “Berapa kali melawat tandas?” tanya Nan dengan sengihan di bibir.
            Mata Arel mencerlung memandang Nan. Ugh! Kalau tidak memikirkan yang dia tengah lemah sekarang ni, memang sudah lama mulut kecil yang comel tu disumbat dengan satu tan cili api. Biar tak boleh cakap langsung lagi bagus.
            “Jangan perli aku la!” Keras suara Arel membentak.
            “Aik, aku mana ada perli. Aku tanya je pun. Sebagai seorang isteri mithali, aku kena la risau tentang kau sekarang.”
            “Lapan!” sejurus itu, Arel bergerak menuju ke sofa dan menghidupkan televisyen. Dia malas mahu menatap wajah Nan lama-lama. Menyakitkan hati je!
            Jawapan Arel membuatkan Nan terlopong. Lapan? Dalam masa lima jam ni dia dah keluar masuk tandas sebanyak lapan kali? Wah! Dasyat juga makanan yang aku masak.
            “Patutlah…” Nan ingin berlalu ke biliknya tetapi terhenti apabila mendengar suara Arel.
            “Patutlah apa?” tanya Arel dengan mata yang masih lagi melekat pada skrin televisyen.
            “Patutlah dah jadi Edward Cullen. Yang bezanya, Edward Cullen…”
            “Yang bezanya aku lebih hensem daripada Edward Cullen kan?” Arel mencantas.
            Ceh! Perasan! Aku baru je nak cakap yang Edward Cullen tu pucat sebab dia vampire, kau tu pulak pucat sebab sakit perut. Ada ke patut masuk bakul angkat sendiri.
            “Edward Cullen lagi hensem daripada kau,” sambung Nan lalu terus masuk ke dalam biliknya.
            “Yalah tu! Kalau bukan sebab aku tengah lemah tak berdaya sekarang ni, aku akan bidas sehabis-habisnya. Aku lagi hensem daripada si Edward Cullen tu,” gumam Arel. Itu rupanya yang membuatkan dahi Arel berkerut. Akal dan hatinya tidak dapat menerima Nan memuji ketampanan lelaki lain.
            “Ehem! Tengah kutuk aku ke tu?”
            Bahu Arel terhinjut. Tersentak. Dia menoleh ke belakang memandang Nan yang tengah memeluk tubuh memandangnya dengan kedua-dua kening diangkat.
            “Entah!” Arel kembali memandang skrin televisyen dan tidak menghiraukan Nan.
            Angin! Nan bergerak ke hadapan Arel dan menghulurkan tangan kanannya kepada Arel.
            “Apa ni?”soal Arel apabila Nan menghulurkan plastik putih kepadanya.
            “Racun tikus!” Selamba Nan menjawab tetapi mata Arel pulak sudah terbuntang.
            “Buat apa pulak kau nak bagi aku racun tikus?” Suara Arel meninggi dan semakin keras.
            “Kau rasa kenapa?” soalan Arel dijawab dengan soalan.
            “Kau nak bunuh aku ke?” Arel lantas berdiri. Dia merenung tajam wajah Nan yang tidak menunjukkan sebarang perasan itu.
            “Kalau kau cakap macam tu, betul la tu.” Nan senyum segaris. Tangan Arel dicapai dan plastik putih bertukar tangan. Dia sedaya upaya menahan gelak apabila melihat wajah berang Arel. Ish ish ish! Tak sangka lelaki ini tertipu dengannya.
            Dadanya berombak kencang. Nafasnya dihembus kasar. Turun naik nafasnya juga sudah tidak menentu. Wajah yang pucat tadi bertukar merah. Dia sedang menahan amarah di dalam hati. Ugh! Riak wajah tenang Nan membuatkan dia semakin terbakar. Semakin panas hatinya apabila Nan mengenyitkan mata kepadanya sebelum berlalu meninggalkannya.
            “Jangan hempas plastik tu atas lantai, Arel. Berdosa tahu sebab itu rezeki Allah untuk kau!” jerit Nan sebelum menutup pintu bilik.
            “Rezeki apa pulak perempuan ni cakap? Racun tikus tu rezeki ke? Ugh!” Dengan kasar Arel membuka ikatan plastik putih itu dan mengeluarkan kotak segi empat yang terdapat dalam plastik tersebut. Sebaik saja kotak tersebut dibuka, keningnya berkerut.
            “Cheese cake?”

TOK! TOK! TOK!
            Nan yang tengah membaca novel terganggu. Matanya dialihkan memandang pintu biliknya.
            “Nan! Buka pintu ni!” Suara Arel kedengaran disebalik pintu.
            Nan melepaskan keluhan lemah. Aduh! Apa pulak lelaki ni nak? Haish! Dengan rasa terpaksa Nan turun daripada katil dan berjalan malas untuk membuka pintu. Entah apa lagi la lelaki ni nak suruh.
            “Kenapa lambat sangat buka pintu?” garang Arel menyoal.
            Nan menjongketkan kening, isyarat menyoal tentang kedatangan Arel mengganggunya. Dia malas ingin bertekak dengan Arel. Dia sudah kenakan Arel tadi pagi jadi cukuplah. Nanti esok baru sambung buli balik.
            “Kenapa angkat kening? Dah bisu?”
            Aik? Lelaki ni macam nak cari gaduh je dengan aku. Haish! Tak padan dengan muka pucat, mulut masih lagi macam longkang. Sabar Nan, sabar. Apa salahnya bertolak ansur dengan dia, tadi pagi kau kan dah kenakan dia cukup-cukup.
            “Ya, ada apa suamiku?” Wajahnya dimaniskan dan merenung lembut Arel dihadapan. Plastik!
            “Sekarang dah pukul berapa?” soal Arel masih lagi dengan nada suara yang garang.
            Nan merengus kasar. Ugh! Apa kena dengan mamat ni? Setiap kali ketuk bilik aku mesti nak tanya pukul berapa? Hmm, ini mesti nak suruh aku buat something.
            “Pukul lapan tepat. Kenapa?” tanya Nan malas.
            “Hah, tahu pun! Jadi tunggu apa lagi?”
            Nan mengerutkan dahi. “Hah?” Blur aku dibuatnya.
            “Where is my dinner, dear wifey?” Kali ini nada suara Arel bertukar lembut.
            “Hah?!” Mata Nan membulat bersama rahang yang jatuh. Eh, kejap! Aku tak salah dengar kan?
            Arel hanya tayang wajah dingin. Dia tahu sangat kenapa Nan terperanjat dengan permintaannya.
            Nan menjadi bingung. Dia suruh aku buatkan makan malam ke? Aik? Lelaki ni tak serik lagi ke kena jahanam dengan aku? Tadi pagi aku dah sediakan masakan yang cukup ‘spesial’ sampai pucat muka. Sekarang dia nak suruh aku sediakan lagi ke? Takkan la dia makan masakan aku tu sampai otak pun dah mereng?
            “Kau serius?” soal Nan dengan riak wajah tidak percaya.
            “Muka aku macam muka orang yang tak serius ke?” Sebelah kening diangkat tinggi. 
            Nan menggaru kepalanya yang tidak terasa gatal. Kemudian, tangannya jatuh menggaru tengkuknya pulak. Haish!
            “Now, Comel!” Arah Arel seperti seorang bos yang sedang memberi arahan kepada kulinya.
            “Kau ni sihat ke tak? Tadi pagi aku dah pedajalkan kau, masih tak serik lagi ke?” Nan memeluk tubuh sambi mengerutkan dahi merenung wajah Arel yang masih pucat.
            Arel tersenyum herot. “Kau fikir aku akan biarkan kau senang lenang ke? Dengar sini! Kalau diikutkan hati, aku memang dah fobia nak makan masakan kau tapi itu tak bermakna aku tak boleh suruh kau masak lagi. Kali ini aku nak kau masak dan aku akan awasi kau.”
            Nan tersenyum sinis. Rupanya! Patutlah dia ni berani sangat nak suruh aku masak untuk dia, rupanya dia ada untuk awasi aku.
            “Okey!” Nan berjalan menuruni tangga untuk ke dapur di tingkat bawah tanpa paksaan. Ala, tak ada hal punya! Kalau aku tak masukkan lada hitam dan wasabi dalam masakan aku pun, perut kau tetap tak boleh terima punya. Hello, cik suami! Isterimu ini memang tak boleh masak la. Shasha sendiri yang cakap makanan aku ni bukan makanan untuk manusia. Kalau binatang makan pun boleh pengsan tahu.
            Arel hanya menbontoti Nan daripada belakang. Bukannya dia tidak boleh memasak untuk dirinya sendiri tetapi dia masih lagi terasa lemah. Sememangnya yang sebetulnya, dia sudah anti dengan masakan Nan. Tapi untuk memesan makanan luar bukan pilihannya. Apa guna ada isteri? Yang penting aku ada sepanjang perempuan tu memasak. Kalau tak, dia masukkan pulak racun tikus dalam masakannya. Tak boleh dipercayai langsung!

“COMEL!!!” Makanan yang baru sesaat masuk ke dalam mulut diludahkan kembali. Matanya tajam merenung wajah Nan yang berada di hadapannya.
            “Apa yang kau masak ni?” Arel menolak kasar pinggannya kepada Nan.
            Nan hanya menayang wajah toya. Untuk hari ini, sudah dua kali namanya dijerit oleh Arel. Nasib baik rumahnya jauh daripada rumah lain yang berada di taman perumahan itu. Kalau tak mesti orang yang mendengar jeritan Arel tu kena serangan jantung. Terkejut dengan suara Arel yang mengalahkan Tarzan tu.
            “Aku tanya, jawablah!”
            “Haish! Bukannya kau tak tahu aku masak apa, lagi mahu tanya. Aku masak ayam masak merah. Kenapa?”
            “Kenapa? Kau tanya aku kenapa?” Arel menarik nafas dalam. “Kau tahu tak makanan yang kau masak ni bukan makanan manusia!” sambung Arel.
            “Tahu!” jawab Nan selamba. Tak marah langsung. Dah memang itu kebenarannya.
            Arel semakin berang. Jawapan Nan yang selamba itu membuatkan dia semakin terbakar. Arghhh! Perempuan ni tak sudah-sudah nak sakitkan hati aku!
            “Kalau dah tahu kenapa masak!”
            Nan mengundurkan kepalanya ke belakang apabila Arel bertempik marah. Haish! Boleh pekak aku kalau lelaki ni asyik menjerit. Nasib baik la aku tak ada penyakit jantung.
            “Dah kau yang suruh, jadi aku masak je la,” jawab Nan dengan riak wajah yang polos.
            “Kenapa tak cakap kau tak tahu masak, hah!”
            Nan sekali lagi terundur ke belakang. Haish! Boleh pecah gegendang telinga aku kalau macam ni.
            “Boleh tak cakap perlahan-lahan sikit? Jangan nak menjerit macam Tarzan boleh tak sebab sekarang kita bukannya berada di dalam hutan.”
            Mata Arel terbuntang mendengar balasan yang laju meluncur keluar daripada mulut Nan. Semakin panas hatinya dengan Nan tika ini.
            “Jawab soalan aku, Comel!” Turun naik nafas Arel.
            “Dah kau tak tanya jadi aku tak la beritahu kau yang aku tak pandai masak.” Jawab Nan masih lagi tenang. Dia tahu sangat Arel semakin berang apabila melihat dia yang masih lagi selamba dan tenang. Jadi jalan terbaik untuk sakitkan hati Arel adalah dengan berlagak tenang walaupun hakikatnya bukan begitu. Hatinya turut bergelegak marah apabila Arel tak sudah-sudah menengkingnya.
            “Menjawab!” Arghhh! Ingin saja dia jahit mulut kecil yang menyakitkan hatinya itu. “Masin kau tahu tak! Berapa tan garam kau masukkan, hah? Lepas tu bau hangit pulak tu. Masakan kau ni memang gagal dengan teruk!”
            Sebelah kening Nan diangkat tinggi. Aiseh! Mengkritik macam pengkritik pulak Arel ni. Macamlah dia tu teror sangat memasak. Aku berani kerat jari, lelaki di hadapannya ini juga langsung tidak tahu memasak. Ala, lelaki… mana pernah masuk dapur. Lagipula, Arel kan orang kaya, mesti ada cef sendiri.
            “Macam la kau tu pandai memasak. Entah-entah ikan dengan ayam pun kau tak tahu nak bezakan.” Nan tersenyum sinis.
            Amboi! Menghina nampak! Comel ni tak tahu ke aku siapa? Sah! Memang sah perempuan ini tidak tahu dia siapa.
            “Kau tak tahu aku siapa kan, Comel?” Mata disepetkan merenung mata Nan dihadapan.
            “Siapa kata aku tak tahu kau siapa? Kau tu anak orang kaya yang berlagak, kerek, kaki perempuan, playboy, buaya, romeo, kasanova…”
            “Okey cukup!” Arel mengangkat kedua belah tangannya untuk menghentikan Nan daripada terus mengutuknya. “Pendek kata aku ni womanizer la kan?”
            Laju saja Nan menganggukkan kepala membuatkan kesabaran Arel semakin nipis. Sabar Arel, sabar. Haish! Di mata Comel, memang aku berperangai yang burul-buruk saja.
            “Kau memang langsung tak tahu pasal aku kan, Comel. Kau langsung tak tahu kau kahwin dengan siapa kan?”
            “Tak payah nak tahu sangat. Cukuplah aku tahu yang kau ni kerek dan seorang buaya.”
            Arel terenyum herot. “Ya! Kau memang tak tahu langsung pasal aku sebab kalau kau kenal aku dengan betul, aku confirm kau akan jatuh cinta dengan aku sampai tergolek-golek.” Arel tergelak kecil. Dia bangun daripada duduk dan mengenyitkan mata kepada Nan sebelum berjalan menaiki tangga.
            Nan merengus kasar sebelum membuang napkin meja ke atas lantai. Ugh! Menyakitkan hati!
            “Makanan ni nak buang dalam tong sampah ke? Membazir!” Dengan rasa bengang Nan membuang segala masakan ke dalam plastik hitam. Nanti nak bagi anjing terbiar di hujung jalan tu makan. Nan mencuci pinggan sambil mengomel tidak puas hati dengan Arel.
            “Membazir! Bazir tenaga untuk aku masak… Bazir makanan!”
            Yang sebetulnya dia langsung tidak tahu siapa Arel sebenarnya. Apa yang dia tahu Arel merupakan anak orang kaya sebab lelaki tu ada limousin dan punya banyak pengawal peribadi. Dia yakin Shasha tahu siapa Arel yang sebenar sebab gadis itu selalu segan dan takut-takut dengan Arel. Shasha juga selalu membela Arel, macamlah Arel tu kawan baiknya. Bila ditanya kepada Shasha siapa Arel, sahabatnya itu pulak megutuk dia. Kononnya, dia macam katak dibawah tempurung. Sejak itu dia sudah malas ingin bertanya.
            “Siapa Arel yang sebenarnya? Ah! Lantaklah!” Tak payah pening-pening nak fikir siapa Arel sebenarnya, tak penting pun.

4 comments: