MATA yang terasa
berat untuk dibuka akhirnya dicelik. Perlahan-lahan, dia berdiri walaupun
terasa sakit satu badan. Belakang lehernya dipegang dan di usap lembut. Sakit!
Bebola mata diliarkan ke arah
sekeliling. Berlapis dahinya kala ini tatkala melihat dirinya berada di satu
tempat yang asing. Bukan itu saja, dahinya berkerut apabila perutnya terasa
senak dan sakit walaupun baru setapak dia berjalan. Tubuhnya tidak dapat di
tegakkan sepenuhnya dek kesakitan yang terasa di bahagian perutnya.
Kemudian, dia kembali mengingati apa
yang telah terjadi. Fikirannya seperti ditarik ke beberapa jam yang lalu.
Kejadian yang telah menimpanya tadi ligat bermain di fikirannya. Apabila
segalanya sudah jelas di ingatannya, matanya membulat. Tiba-tiba dia teringat
tentang sesuatu.
“Kereta aku!”
Arel segera mencari keretanya.
Matanya juga merewang memerhatikan sekeliling dan mencari kelibat keretanya
tetapi tidak ada. Jalan raya di hadapan mata itu sunyi dan tiada satu pun
kereta yang lalu. Kosong!
“Tak guna! Orang yang serang aku dah
rompak kereta aku.”
Arel merengus kasar. Bengang dan marah
apabila mendapat tahu keretanya sudah hilang. Memang jelas orang yang
menyerangnya tadi sengaja melontar telur ke arah keretanya agar dia berhenti
memandu. Pada kesempatan yang ada, dia akan diserang dan keretanya dirompak.
Ahhh!
Arel segera menyeluk kocek seluarnya
dan ternyata dompetnya masih ada. Nampaknya, perompak itu hanya inginkan
keretanya. Huh!
“Sekarang macam mana aku nak
pulang?”
Arel bercekak pinggang tatkala
berdiri di tepi jalan raya. Kepalanya menoleh ke kiri dan ke kanan, ingin melihat
jika ada kereta yang lalu, bolehlah dia menumpang nanti. Namun setelah hampir
sepuluh minit menunggu, satu buah kereta pun tidak dilihatnya. Tangan kanannya
di angkat dan matanya terarah pada jam tangannya. Tepat jam dua belas malam.
“Malam ni malam apa ya?” Berkerut
dahi Arel ketika cuba mengingati malam itu malam apa.
Gong! Gong! Gong!
Tiba-tiba kedengaran anjing
menyalak. Arel segera menoleh ke belakang tetapi apa yang dapat dilihat
hanyalah hutan tebal yang gelap dan misteri.
Anjing menyalak? Orang-orang tua
kata kalau anjing menyalak bermaksud anjing tersebut ternampak sesuatu dan
sedang menghalau benda tersebut. Sesuatu benda halus yang tidak dapat dilihat
dengan mata kasar manusia. Atau lebih tepat lagi… Hantu!
Auuwuuu!!!
Sekali lagi dia terdengar bunyi
anjing. Kali ini tidak lagi menyalak. Orang-orang tua kata, kalau terdengar
anjing buat bunyi macam tu, maksudnya dia sedang memberi tahu bahawa benda
halus itu sememangnya ada.
Arel segera menoleh memandang jalan
raya semula. Dia sudah rasa seram sejuk. Bulu romanya juga sudah meremang. Arel
segera memeluk tubuh dan menggosok kedua-dua belah lengannya. Rasa dingin.
“Astaghfirullahalazim!” Cepat-cepat
Arel beristighfar apabila dia sedar dia sudah terlalu melalut entah apa.
Walaupun benda halus itu ada di
sekeliling, kita tak boleh takut. Buat apa nak takut sebab benda halus itu juga
merupakan makhluk Allah. Benda itu juga punya hak untuk terus hidup di muka
bumi ini. Di muka bumi Allah ini, sememangnya bukan hanya manusia, haiwan dan
tumbuh-tumbuhan yang ada. Masih terdapat makhluk ghaib yang telah diciptakan
tetapi tidak dapat dilihat. Makhluk yang juga mempunyai kehidupan dan matlamat
hidupnya sendiri.
“Hmm, bagus Arel. Motivasikan diri
sendiri. Think positive than negative!”
Penat menunggu kereta yang lalu
lalang, Arel mengambil keputusan untuk berjalan kaki saja. Mungkin dia akan
sampai dalam masa sejam. Tak jauh mana pun sebenarnya.
Kedua-dua tangannya dimasukkan ke
dalam kocek seluarnya. Langkah kakinya dibuka perlahan. Nak buka langkah yang
besar dan laju pun tidak boleh. Perutnya masih terasa sakit. Kepalanya juga
terasa sengal kesan dipukul oleh penyerang tadi.
Berjalan di tepi jalan raya sambil
menikmati angin malam yang dingin sememangnya nyaman. Tenang saja rasanya
walaupun ditemani suasana yang sunyi dan bunyi-bunyi serangga dari hutan.
Perasan yang tidak dapat dirasai jika menaiki kereta.
“OKEY! Cupcake
yang terakhir.” Nan tersenyum puas tatkala kek cawan yang terakhir siap
dimasukkan ke dalam tempat simpanan khas kek dan kek cawannya.
Bebola matanya bergerak ke arah jam
pada dinding dapur. Nan sedikit terkejut tatkala jarum jam yang panjang itu
menunjuk ke arah angka satu. Sudah pukul satu pagi. Dengan segera Nan mengemas
meja dan dapurnya yang berselerak dengan bahan-bahan kek dan kek cawannya itu.
Sedang Nan mengemas meja dapur,
tiba-tiba dia terdengar bunyi anjing menyalak. Begitu jelas dan kuat. Serta
merta bulu roma Nan meremang. Tangannya semakin pantas dan ligat mengemas meja
dapur.
Nan menjadi kaku. Tangannya yang
sibuk mengemas tadi serta merta terhenti. Buat beberapa saat Nan tidak
bergerak. Jantungnya juga seakan-akan berhenti berdegup. Hembus tarik nafasnya
juga sudah tidak sederas tadi.
Gulp! Nan menelan air liur yang
terasa kelat. Dia tahu dia tidak menutup jendela. Memang dia sengaja tidak
menutup jendela kerana ingin merasakan angin malam yang dingin. Tetapi ketika
dia sedang sibuk mengemas tadi, hujung matanya menangkap satu figura hitam yang
melalui jendela. Figura hitam itu datang dari arah depan dan bergerak ke
belakang. Pada saat itulah, segala pergerakannya terhenti.
Perlahan-lahan Nan menoleh ke kanan.
Jendela yang terbuka luas itu kosong. Hanya pemandangan luar yang menyapa mata.
Dengan pergerakan yang terbatas dan senyap, tangan Nan meliar mencari barang di
bawah meja tanpa mengalihkan langsung matanya dari jendela.
Nan menggenggam sesuatu. Barang yang
dipegang dilekapkan ke dada. Pan yang sememangnya diletak di bawah meja itu
sudah berada di dalam genggaman. Dengan perasan yang bercampur baur Nan
bergerak keluar dari dapur dan terus ke luar rumah. Dia ingin memastikan apakah
figura hitam yang ditangkap dari hujung matanya tadi. Manusia atau hantu?
Sejujurnya Nan berasa takut. Takut
jika figura hitam tadi bukannya manusia. Kalau manusia, bolehlah dia pukul
dengan pan sampai pengsan tapi macam mana kalau bukan manusia. Macam mana kalau
figura hitam itu sebenarnya hantu? Ya Allah!
Dengan langkah yang kecil dan
perlahan, Nan menapak satu persatu ke belakang rumah. Takut, gelisah, dan seram
semuanya ada. Boleh saja dia berjalan keluar melalui pintu dapur tapi jika dia
berbuat demikian dia tidak akan dapat menghendap figura hitam itu tadi. Tak
pasal-pasal kedua-duanya kena heart attact kalau Nan buka pintu nanti.
Nan bersandar pada dinding. Nafasnya
ditarik dalam sebelum kepala dijengul ke kiri dan menoleh untuk melihat
siapakah atau pun apakah figura hitam tadi. Berkerut dahi Nan tatkala melihat
figura hitam itu sedang terbongkok seolah-olah sedang mencari sesuatu di dalam
kotak yang sememangnya ada di situ. Nan hanya diam tidak bergerak. Matanya
terkelip-kelip saat melihat tali serat sudah berada di tangan figura hitam itu.
Kemudian figura hitam itu meletakkan kembali tali serat itu ke dalam kotak. Buat
seketika figura hitam itu diam seolah-olah sedang berfikir sesuatu. Ketika
figura hitam itu mendongak ke atas, Nan turut mendongak ke arah yang dilihat
figura hitam itu. Ternyata figura hitam itu memandang ke arah balkoni bilik
Arel.
Nan masih lagi belum pasti sama ada
figura hitam itu manusia atau hantu kerana suasana yang gelap. Tetapi apa yang
pasti figura hitam itu lebih tinggi daripadanya. Nan masih lagi kaku tidak
berkutik. Hendak diserang tapi takut pulak yang diserangnya itu hantu.
‘Hmm, macam mana nak kenal pasti
sama ada dia ni manusia atau hantu ya?’ Nan bermonolog di dalam hati.
Fikirannya dipaksa untuk memikirkan bagaimana caranya.
‘Hah!’ Tiba-tiba mentol idea Nan
menyala.
Nan melihat ke atas tanah yang
ditumbuhi rumput hijau. “Hah! Ada bayang!” Nan menjerit gembira di dalam hati. Nan
tersenyum lebar apabila figura hitam itu sudah dikenal pasti. Manusia!
Alhamdulillah… Nasib baik bukan hantu, syukur Nan di dalam hati. Tetapi
kegembiraan yang bermukim di dalam hati tu hanya sebentar menyinggah di
hatinya. Senyumannya hilang serta merta.
‘Tapi… tapi siapa?’
Nan menjadi cuak. Dia kembali
teringat tentang berita yang ditontonnya tadi. Banduan! Aduh… Kenapa la banduan
ni pergi rumah aku. Hei! Apa kau orang ingat rumah aku rumah persinggahan
banduan yang lari dari penjara ke? Huh! Hari tu pun ya jugak…
Eh… eh… eh! Hari tu bukan banduan.
Hari tu Arel yang ketuk pintu. Takkan la orang yang sedang memerhatikan balkoni
bilik Arel itu suaminya? Kalau benar itu Arel, mana kereta merah garang lelaki
itu? Dia tahu, kereta mahal lelaki itu tiada di perkarangan rumah.
Tak tak tak! Ini bukan Arel! Kali
ini aku pasti, orang yang memandang ke arah balkoni bilik Arel ini orang asing
yang tidak dikenali. Banduan! Melalui ketinggian dan susuk tubuh figura itu,
kemungkinan orang itu ialah seorang lelaki. Ya, memang tidak dapat dinafikan
lagi!
“Bismillah…”
Dengan tekad yang kuat bercampur
dengan perasaan takut, Nan bergerak ke arah lelaki tersebut. Pan digenggam
erat. Sampai saja dibelakang lelaki itu, pan di angkat tinggi.
“Haiyakkk!”
Buk!
Dengan serta merta lelaki itu
terjelopok jatuh ke tanah. Tertiarap dan muka lelaki itu juga terselindung. Nan
menguis kaki lelaki itu dengan hujung seliparnya beberapa kali. Setelah lelaki
itu dipastikan tidak sedar diri, bibir Nan perlahan-lahan mengukir senyum.
Semakin lebar.
“Siapa suruh kau ceroboh rumah aku?
Kan dah kena hempuk dengan aku.” Marah Nan sambil bercekak pinggang. Terasa
bangga apabila dia dapat mempertahankan rumahnya itu daripada dirompak banduan.
Nan memegang bahu lelaki itu dan
dipalingkan tubuh yang sasa itu. Sebaik saja tubuh dipalingkan, wajah yang
terselindung tadi jelas terbentang di mata Nan. Pada mulanya Nan mengerutkan
dahi. Keadaan yang gelap menyukarkan dia mengecam wajah lelaki itu. Daripada
berdiri Nan duduk mencangkung. Ingin dilihatnya wajah lelaki itu dengan jelas. Sebaik
saja wajah itu kian jelas menyapa pandangan, mata Nan terbuntang dan mulutnya
juga sudah terlopong.
Buat beberapa saat Nan pegun tidak
terkata. Matanya langsung tidak berkelip walau sekali. Setelah seminit dia kaku
tidak bergerak, telefon bimbit di kocek seluar diseluk. Dengan pantas dia
mendail seseorang.
“Shasha! Kejadian berulang kembali!”
“APA hobi kau
sebenarnya?”
Nan yang sedang menongkat dagu
segera menoleh ke kanan memandang ke arah Shasha. Berkerut dahinya tatkala
mendengar soalan Shasha yang dirasakan pelik itu.
“Kenapa tiba-tiba tanya pasal hobi
pulak?” soal Nan kehairanan.
Kepalanya kembali dipalingkan ke
hadapan memandang sofa hitam yang menampung sekujur tubuh sejak sejam yang lalu.
“Jawab je la,” gesa Shasha sambil
menyilangkan kaki. Shasha memandang Nan dengan wajah yang kosong tanpa riak.
“Emm, aku suka cipta resepi baru
untuk kek dan cupcake aku. Kau ni kenapa?” Nan menggaru kepalanya yang tidak
gatal.
“Oh, ya? Hobi kau bukannya
menghempuk kepala orang dengan pan ke?” Shasha memerli Nan.
Nan menjeling Shasha tajam sebelum
mencebik tanda tidak puas hati dengan. Geram pulak apabila Shasha dengan
selamba memerlinya. Ugh!
“Kau perli aku kan, Shasha?” Matanya
yang bulat dikecilkan memandang wajah Shasha.
Shasha tidak membalas. Bahunya
diangkat sebelum senyuman nipis tersungging di bibir.
“Aku tahu kau perli aku tadi.” Nada
suara Nan seolah-olah sedang berjauh hati dengan Shasha. “Aku tahu la aku ni
troublemaker kan. Aku tahu aku selalu buat masalah. Maaflah sebab kacau kau
malam-malam buta ni.”
Nan menundukkan kepala. Sungguh dia
kecil hati apabila Shasha seolah-olah sedang menyalahkannya.
Senyuman Shasha semakin lebar. Geli
pulak hatinya apabila Nan seperti sedang merajuk dengannya. Ala, dah lama tak
usik Nan. Sekali-sekala tak apa kan?
“Tak apa la. Kau boleh pulang
sekarang. Maaf sebab menyusahkan.” Nan semakin berjauh hati.
“Ada orang merajuklah,” Shasha
tergelak tatkala melihat wajah Nan yang suram. “Alololo… manjanya Puan Comel
ni.”
Nan menghadiahkan jelingan tajam
buat Shasha. Tak suka apabila digelar Puan Comel. Ugh!
“Sudahlah! Pergi la balik.” Nan
memeluk tubuh sambil memalingkan tubuh. Merajuk benar dengan Shasha.
“Aik, menghalau nampak?”
Semakin sakit mata Nan tatkala
melihat Shasha yang tersengih-sengih.
“Shasha!”
“Okey okey okey!” Shasha mengangkat
kedua-dua tangannya bak penjenayah yang menyerah kalah. “Sekarang ni kita serius.”
“Hmm…”
“Okey… Kenapa kau hempuk kepala
suami kau? Eh, ini kali kedua kau hempuk kepala dia tau.”
“Kau fikir aku ni suka sangat ke
hempuk kepala si Arel ni?”
“Mungkin?” Shasha menjongket bahu
sebelum tersengih macam kerang yang tak wangi tatkala melihat wajah Nan yang
kegeraman.
“Eh, kau fikir aku ni tiada kerja
lain ke nak dibuat selain dari hempuk kepala lelaki ni. Huh!” Nan mendengus
kasar sebelum menyambung kata. “Manalah aku tahu lelaki yang aku pukul tu Arel.
Siapa suruh berlagak macam pencuri. Eh, aku cuak tahu! Kau tak tahu ke semalam ada banduan yang terlepas dari
penjara. Mestilah aku fikir yang lelaki ni banduan.”
Arel yang sedang baring di atas sofa
itu dijeling sekilas. Ya! Figura hitam yang disangkakan hantu dan banduan tadi
itu sebenarnya Arel. Suami merangkap musuhnya. Mungkin sudah takdir Arel
dihempuk dengan pan olehnya sebanyak dua kali. Nasib kau la, Arel!
“Alasan yang sama. Hari tu pun kau
sangka banduan yang ketuk pintu kau. Malam ni pun kau fikir benda yang sama.
Kau fikir rumah kau ni tempat persembunyian banduan yang lari dari penjara ke?”
Shasha mencebik apabila mendengar alasan Nan. Alasan yang sama diberikan oleh
Nan pada dua minggu yang lalu.
“Dah memang itu kebenarannya.
Lagipun Arel ada cakap dengan aku, dia tak akan pulang malam ni. Tup tup… boleh
pulak dia muncul di belakang rumah. Memang menyusahkan betul la lelaki ni.” Nan
merungut geram.
Shasha hanya menggelengkan kepala.
“Nan… Nan…”
“Apa? Kau tak boleh salahkan aku
seratus peratus, okey! Aku ada hak untuk pertahankan diri.”
Nan menggigit bibir. Geram dengan
Shasha yang seolah-olah tidak menerima alasan yang diberikan. Lebih geram lagi
dengan Arel yang bercakap tak serupa bikin. Eleh! Tak balik rumah konon.
Tiba-tiba ada kat belakang rumah tu apa kes?
“Jadi sekarang macam mana?” Shasha
bersandar pada sofa sambil memandang Nan yang merenung Arel dengan lagak tidak
puas hati.
“Macam mana apa?” soal Nan pulak,
tidak mengerti dengan soalan Shasha itu.
“Sekarang ni tukang masak kau dah
pengsan. Jadi… restoran kau esok macam mana? Kau tetap nak buka ke?”
Nan diam tidak membalas. Dia juga
tidak punya jawapan untuk soalan Shasha itu.
“Nan?”
“Hmm… Aku tak tahulah, Shasha.
Takkan la kau nak aku tutup kedai lagi.” Nan mengeluh berat. Berat hatinya
untuk menutup kedai buat sehari lagi.Sudah dua minggu dia tidak buka kedai.
Nanti apa pulak tanggapan pelanggannya? Walaupun dia tetap menerima tempahan
secara panggilan selama dua minggu ini, hatinya tetap tidak suka untuk menutup
kedai lama sangat.
“Aku rasa kau kena tutup kedai juga
esok.” Shasha hanya memandang simpati ke arah Nan. Dia tahu Nan teringin sangat
membuka restorannya esok.
“Ish!” Nan merengus tidak puas hati.
Tubuhnya disandar kasar pada kepala sofa sebelum memandang wajah Arel dengan
riak muka tidak puas hati. “Ini semua Arel punya pasal. Tak pasal-pasal aku
kena tutup kedai lagi. Ugh! Menyusahkan!”
Shasha tersenyum lucu tatkala mendengar
rungutan tidak puas hati Nan itu. “Bukan salah dia sepenuhnya. Kau pun salah
juga. Kalau kau tak hempuk kepala dia, dia takkan pengsan.”
Nan menjeling tajam wajah selamba
Shasha. Bibir diketap geram. “Kau ada crush dengan Arel ke?”
“Aku? Mana ada!” sangkal Shasha.
Berkerut dahinya apabila Nan seolah-olah sedang menuduhnya punya hati dengan
Arel. Tapi… kalau Arel itu bukan suami Nan, memang tidak dapat dinafikan bahawa
dia akan memikat Arel juga. Hey, he’s hot, okay!
“Kalau macam tu, berhenti dari bela
dia. Aku kawan kau, bukan si Arel ni!” Memang tak puas hati betul. Dari dulu
lagi, Shasha suka benar membela Arel.
Shasha tergelak kecil apabila
melihat mulut Nan yang muncung. Alahai… Dengan suami sendiri pun nak merajuk
ke? Nan… Nan… Tergeleng-geleng kepalanya melihat gelagat Nan itu.
“Tapikan… aku tak salah sepenuhnya
juga.”
Shasha mengangkat kening tatkala
mendengar bicara Nan itu. “Kenapa?”
“Aku tak nampak pun kereta Arel
dekat laman rumah tadi.” Ini yang membuatkan Nan musykil sedari tadi. Dia tahu
dia salah sebab menghempuk kepala Arel tadi tapi dia tidak patut disalahkan
sepenuhnya. Sememangnya kereta merah yang dibawa lelaki itu tadi pagi tiada di
laman rumah.
“Habis tu, kereta yang berderet
dekat garaj tu apa? Bukan kereta Arel ke? Jangan pulak kau cakap dengan aku
yang semua kereta depan rumah tu kereta kau.” Shasha mencebik. Kereta yang
berderet di garaj semuanya kereta mewah dan edisi terhad. Kesemua nombor plat
kereta itu juga ialah nama Arel. AR31. Hah! Nombor plat atas nama Arel jugak.
Memang yakin sangat bukan kereta Nan.
Nan menjulingkan mata ke atas.
“Memanglah semua kereta tu kereta Arel tapi tadi pagi Arel bawa kereta Ferrari
merah garang dia tu. Aku tak jumpa pun kereta tu dekat garaj.”
Shasha mengerutkan dahi apabila
mendengar kata-kata Nan itu. Buat seketika dia terdiam sebelum membuka mulut
untuk bertanya soalan kepada Nan.
“Berapa buah kereta yang Arel ada
sebenarnya? Bukan hari tu dia beli kereta Ferrari merah je ke?”
Nan tersenyum sinis. “Semuanya ada
sepuluh. Kereta kat luar tu dia import dari luar negara. Kereta dia juga tapi
dia import ke sini. Saja nak berlagak!” Cemuh Nan.
Shasha tersenyum lucu tatkala
mendengar ayat terakhir Nan. Ada nada tidak puas hati di situ.
“Kaya juga suami kau kan, Nan.”
“Entah! Jangan tanya aku. Bukan kau
lebih tahu ke pasal Arel ni?” Sebelah kening dijongket dan senyumannya senget
memandang Shasha. Shasha pulak dilihatnya hanya tersengih-sengih memandangnya.
“Jadi… kau dah ada keputusan ke?”
soal Shasha setelah beberapa minit membisu.
“Keputusan apa?” Nan menekup mulut
dek menguap. Sudah hampir pukul tiga pagi jadi memang wajarlah dia mengantuk.
“Restoran kau?”
Nan menggaru kepala yang tidak
gatal. “Terpaksalah aku tutup dulu. Lagipun aku belum tahu lagi angin si Arel
ni esok. Kalau dia jadi hulk nanti, habis semua pelanggan aku lari.”
Shasha tersenyum lucu sebelum dia
turut berdiri tatkala melihat Nan berdiri sama.
“Jomlah, tidur. Kau boleh tidur di
bilik tetamu sebab bilik kau yang dulu dah kena ambil oleh Arel.” Nan sudah
bergerak ke arah tangga untuk menaiki tingkat tiga. Arel pulak hanya dibiarkan
tidur di atas sofa di tingkat dua. Dia dengan Shasha sudah tidak larat untuk
mengangkat tubuh Arel ke tingkat tiga tadi. Berat!
“Okey!”
Nan dan Shasha sama-sama menaiki
tangga ke tingkat tiga. Baru saja Nan membuka pintu biliknya, Shasha bersuara.
“Eh, jangan pulak kau lupa untuk
telefon Kak Cham.”
Nan menepuk dahi. Nasib baik Shasha
mengingatkannya, jika tidak tentu dia lupa. Sebaik saja keluar dari bilik air,
Nan mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja solek. Tubuhnya
dibaringkan ke atas katil sebelum mendail telefon Kak Cham.
“Kenapa Nan?” soal Kak Cham setelah
menjawab salam yang diberikan Nan. Hatinya sedikit risau apabila Nan
menelefonnya pada pukul tiga pagi.
Pada ketika itu juga Nan terpandang
jam digital pada dinding biliknya. Pukul tiga pagi! Aduh, Nan! Yang kau pergi
telefon Kak Cham jam tiga pagi kenapa? Patutlah suara Kak Cham kedengaran
gelisah dan risau.
“Erk… Nan kacau Kak Cham ke? Sorry,
Nan tak perasan sekarang dah pukul tiga pagi.” Nan menggaru kepalanya.
“Taklah, jangan risau. Kak Cham baru
je bangun sebab nak solat Dhuha. Nan ada masalah ke?” Dia baru saja keluar dari
bilik air setelah selesai mengambil wuduk. Baru saja dia membentangkan sejadah,
telefon bimbitnya berbunyi. Memang dia berasa pelik apabila nama Nan yang
tertera pada skrin telefon.
“Tak ada masalah berat pun
sebenarnya. Nan cuma nak beritahu yang Nan tak jadi buka kedai esok.”
Berkerut dahi Kak Cham. Masuk kali
ini, sudah dua kali Nan tidak jadi membuka kedai. Dia menjadi risau jika Nan
punya kesulitan sehingga tidak mmbuka kedai. “Nan ada masalah ke sampai tak
jadi buka kedai ni? Maaflah kalau Nan anggap Kak Cham ni penyibuk tapi Kak Cham
risau dengan Nan je.”
“Kak Cham tak payahlah risau. Ada
hal yang kena Nan uruskan. Ingatkan dah boleh selesaikan hari ni tapi tak boleh
juga.” Nan tersengih apabila mulutnya lancar berbohong. Hmm… semenjak ada Arel
ni, selalu sangat aku berbohong. Masalah betul la si Arel ni.
“Oh! Kalau macam tu tak apa la.”
Setelah panggilannya dengan Kak Cham
tamat, telefon bimbit diletakkan di atas meja tepi katil.
“Apa la yang bakal terjadi esok?
Kalau dulu dia nak saman aku sampai kena kahwin, sekarang tak tahu pula apa
helah si Arel ni. Hmm…” Matanya dipejam rapat dan sesaat kemudian dia terus
dibuai tidur.
“NAH!”
Nan menghulurkan secawan Nescafe
kepada Shasha sebelum dia melabuhkan duduk di sebelah gadis itu. Cawan miliknya
pula diletakkan di atas meja dihadapan sebelum mencapai sebungkus biskut.
“Nak?” Nan menoleh ke sebelah dan
menghulurkan sebungkus biskut yang diambil tadi.
Shasha hanya mengambil huluran Nan
itu sebelum melemparkan senyuman. Buat pertama kali dia dan Nan bersarapan di
ruang tamu di tingkat dua. Jika dahulu ketika dia masih lagi tinggal bersama
Nan, mereka pasti akan bersarapan dengan makanan yang berat seperti nasi goreng
atau pun nasi lemak di dapur tetapi kini mereka hanya bersarapan dengan biskut.
“Eh, boleh aku tahu kenapa kita kena
bersarapan di sini?” soal Nan sebelum menyumbat sekeping biskut ke dalam
mulutnya. Wajah Shasha di sebelah diperhatikan lama untuk menagih jawapan.
Nan pelik sebenarnya. Sebaik saja
dia keluar dari biliknya tadi, Shasha sudah pun berada di hadapan mata.
Walaupun dia tengah bingung, Nan menurut saja apa yang dikatakan Shasha. Shasha
menyuruhnya ke dapur untuk mengambil beberapa bungkus biskut ke tingkat dua,
dia turuti saja. Shasha menyuruhnya membancuh air nescafe untuk mereka berdua
pun dia menurut. Tapi tujuan Shasha untuk bersarapan di ruang tamu di tingkat
dua itu masih lagi belum dikenal pasti.
“Sekejap lagi jam lapan,” ujar
Shasha pendek sebelum menghirup sedikit air nescafe yang dibancuh oleh Nan itu.
“So?” Nan menjadi semakin blur.
Terkelip-kelip matanya memandang wajah bersahaja Shasha.
“Tepat jam lapan, Arel akan bangun.”
“Huh???” Sebelah keningnya
dijongket. Kemudian, dia mengalihkan pandangan mata ke hadapan, memandang
sekujur tubuh Arel di atas sofa yang jauh satu meter dari tempat duduknya kini.
Matanya dikelipkan sekali sebelum bebola matanya kembali merenung wajah Shasha
untuk minta penjelasan yang lebih lanjut. Sebelah keningnya masih lagi dijongket
sebelah.
“Kenapa?” soal Shasha tanpa
memandang wajah Nan.
“Tepat jam lapan dia akan bangun?”
Bungkusan biskut di tangan diletakkan di atas meja.
“Ya!” jawab Shasha yakin sebelum dia
menoleh memandang wajah Nan di sebelah dan melemparkan senyuman.
“Yakinnya?” Nan tersenyum sinis
apabila mendengar nada suara Shasha yang yakin itu. “Apa yang buat kau yakin
sangat si Arel ni akan bangun tepat jam lapan?”
“Dulu pun kau pernah hempuk dia
kan?” Shasha menghabiskan airnya dan cawan kosong diletakkan di atas meja.
“Jadi?” Nan mendekatkan cawan ke mulutnya dan
menghirup sedikit air nescafe yang dibancuhnya itu.
“Aku masih ingat, hari tu dia bangun
tepat jam lapan. Kalau hari tu dia bangun jam lapan, maksudnya sekarang pun dia
akan bangun jam lapan.” Terang Shasha dengan lancar tanpa ragu-ragu.
Nan pulak sudah mengerutkan dahi
mendengar penjelasan Shasha itu. Teori apa yang Shasha pakai? Ada ke patut
Shasha fikir macam tu? Memang dia tidak percaya langsung dengan teori yang
digunakan Shasha itu. Memang merepek baginya.
“Dua puluh saat lagi jam akan
menunjuk ke angka lapan. Aku akan buktikan yang aku tak merepek.” Ujar Shasha
lagi apabila melihat riak wajah Nan yang jelas tidak percaya dengannya itu. Dia
sendiri pun tidak tahu sama ada teorinya itu betul atau tidak tetapi kata
hatinya yakin benar bahawa Arel akan bangun tepat jam lapan sama seperti kali
pertama dahulu.
“Okey!” Nan tersenyum sinis.
Nan dan Shasha masing-masing
memandang jam besar pada dinding putih di tingkat dua itu. Di dalam hati, baik
Nan mahupun Shasha, kedua-duanya sedang mengira. Lagi lima saat.
Satu… Dua… Tiga… Empat… Lima…
Tepat jam lapan!
Nan dan Shasha berpandangan sesama
sendiri sebelum memandang hadapan ke arah Arel.
‘Aku yakin aku betul, Nan!’ kata
hati Shasha.
‘Aku yakin kau salah, Shasha!’ bisik
hati Nan.
“Aduh!”
Mata Nan dan Shasha kedua-duanya
membulat. Shasha tersenyum lebar dan penuh bangga. Nan pula merengus kasar
sambil mata dijuling ke atas.
“I told you.” Shasha mengenyit mata.
Nan
mencemik sebelum kembali memberi perhatian ke arah Arel. Tak sangka pulak teori
Shasha tu betul. Memang tak masuk akal betul. Huh!
Arel yang pada mulanya berbaring
perlahan-lahan bangun. Tangan lelaki itu memegang kepala sebelum jatuh ke
belakang tengkuknya. Kaki yang berlunjur dijatuhkan ke atas lantai. Kemudian,
tubuhnya disandarkan pada kepala sofa dengan mata yang masih lagi terpejam.
Dahi lelaki itu berkerut seolah-olah sedang menahan sakit.
Nan dan Shasha masing-masing membisu
tidak membuka mulut untuk bersuara. Perlakuan Arel sejak dari berbaring
sehingga duduk hanya diperhatikan saja. Nan dan Shasha langsung tidak punya
niat untuk menegur. Masing-masing menunggu Arel membuka mata dan mulut.
Akhirnya, mata Arel yang terpejam
dicelik. Kini bebola matanya terarah tepat pada wajah Nan. Matanya dikelip
sekali sebelum dialihkan pula memandang wajah Shasha. Mata dikelipkan dua kali
sebelum sekali lagi bebola mata bergerak ke arah wajah Nan. Kali ini mata tidak
dikelip lagi. Wajah Arel kosong tanpa riak. Anak matanya pula tunak merenung
mata Nan.
Sesaat... Dua saat… Tiga saat…
Krik! Krik! Krik!
Suasana hening. Nan dan Shasha sudah
mula mengerutkan dahi. Masing-masing menjadi bingung dan pelik.
‘Kenapa Arel tak putus-putus
merenung Nan? Dia nak marah Nan ke?’ monolog Shasha di dalam hati.
‘Mamat kerek ni dah kenapa? Kalau
nak marah tu marah je la. Renung aku sampai nak tembus tu kenapa?’ bisik hati
Nan yang tidak selesa. Seram sejuk dia dibuatnya apabila melihat panahan mata
Arel itu.
“Awak siapa?” soal Arel polos.
Kerutan di dahi Shasha semakin
bertambah manakala Nan pula sudah merengus kasar.
“Jangan nak main-mainlah. Aku tahu
kau nak marah aku kan? Marah je la.” Nan memeluk tubuh.
Riak wajah Arel masih lagi seperti
tadi. Kosong dan nampak polos.
“Kenapa diam? Eh, jangan nak
main-mainlah Arel! Jangan berlagak innocent boleh tak?” Hati Nan semakin
mendidih. Entah kenapa hatinya tidak enak apabila melihat riak wajah Arel itu.
Riak wajah yang tidak pernah dia nampak. Mana wajah kerek Arel? Kenapa tiba-tiba
riak wajah bertukar jadi bayi ni?
Arel menggelengkan kepala. “Awak
siapa?”
Shasha tersentak.
Nan memandang tajam wajah Arel.
“Saya… Saya siapa?” soal Arel lagi
dan kali ini lebih kepada menyoal dirinya sendiri. Riak wajah bingung juga
sudah terpeta di wajah Arel.
Mata Nan dan Shasha terbuntang.
“Awak siapa?” Tepat anak mata Arel
merenung mata Nan.
Shasha terlopong.
Nan terkaku.
Bala!!!
p/s : 2 chapters... untuk menebus kesalahan sebab tak update blog lama sangat :) Enjor reading n jgn lupa komen kay ^_^
wahh dye ilg ingtn pula!! biar betul??
ReplyDeleteAssalamu'alaikum wr wb...Cik Penulis, jam 3pagi sepatutnya solat Tahajjud ke, taubat, hajat atau istikharah...bukan solat dhuha...kalau solat dhuha jam 8pagi ke atas...harap diperbetulkan ye...hehe...peace...wassalam ~ Umra~
ReplyDeleteKesian aril.. btul ke die hilang ingatan? takkan smpai cmtu skali.. huhu..tak sbar nk tgu nxt chpter..
ReplyDeletehehehe best2 next n3 plxzz
ReplyDeleteAmnesia pulak dah ke?
ReplyDeleteKesian dekat Arel...
arel amnesia??? wahhh mkin best cite ni
ReplyDeletenext n3 plzz
ReplyDeletePleape next n3
ReplyDeletenext n3 please.....
ReplyDeleteBle nk kuar next n3 .. .... dh lme tunggu
ReplyDeleteBile nk kuar next n3 plzzz jangan stop
ReplyDelete