Thursday 7 August 2014

Comel Is My Pet 27



MATA yang terasa berat untuk dibuka akhirnya dicelik. Perlahan-lahan, dia berdiri walaupun terasa sakit satu badan. Belakang lehernya dipegang dan di usap lembut. Sakit!
           Bebola mata diliarkan ke arah sekeliling. Berlapis dahinya kala ini tatkala melihat dirinya berada di satu tempat yang asing. Bukan itu saja, dahinya berkerut apabila perutnya terasa senak dan sakit walaupun baru setapak dia berjalan. Tubuhnya tidak dapat di tegakkan sepenuhnya dek kesakitan yang terasa di bahagian perutnya.
            Kemudian, dia kembali mengingati apa yang telah terjadi. Fikirannya seperti ditarik ke beberapa jam yang lalu. Kejadian yang telah menimpanya tadi ligat bermain di fikirannya. Apabila segalanya sudah jelas di ingatannya, matanya membulat. Tiba-tiba dia teringat tentang sesuatu.
            “Kereta aku!”
            Arel segera mencari keretanya. Matanya juga merewang memerhatikan sekeliling dan mencari kelibat keretanya tetapi tidak ada. Jalan raya di hadapan mata itu sunyi dan tiada satu pun kereta yang lalu. Kosong!
            “Tak guna! Orang yang serang aku dah rompak kereta aku.”
            Arel merengus kasar. Bengang dan marah apabila mendapat tahu keretanya sudah hilang. Memang jelas orang yang menyerangnya tadi sengaja melontar telur ke arah keretanya agar dia berhenti memandu. Pada kesempatan yang ada, dia akan diserang dan keretanya dirompak. Ahhh!
            Arel segera menyeluk kocek seluarnya dan ternyata dompetnya masih ada. Nampaknya, perompak itu hanya inginkan keretanya. Huh!
            “Sekarang macam mana aku nak pulang?”
            Arel bercekak pinggang tatkala berdiri di tepi jalan raya. Kepalanya menoleh ke kiri dan ke kanan, ingin melihat jika ada kereta yang lalu, bolehlah dia menumpang nanti. Namun setelah hampir sepuluh minit menunggu, satu buah kereta pun tidak dilihatnya. Tangan kanannya di angkat dan matanya terarah pada jam tangannya. Tepat jam dua belas malam.
            “Malam ni malam apa ya?” Berkerut dahi Arel ketika cuba mengingati malam itu malam apa.
            Gong! Gong! Gong!
            Tiba-tiba kedengaran anjing menyalak. Arel segera menoleh ke belakang tetapi apa yang dapat dilihat hanyalah hutan tebal yang gelap dan misteri.
            Anjing menyalak? Orang-orang tua kata kalau anjing menyalak bermaksud anjing tersebut ternampak sesuatu dan sedang menghalau benda tersebut. Sesuatu benda halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Atau lebih tepat lagi… Hantu!
            Auuwuuu!!!
            Sekali lagi dia terdengar bunyi anjing. Kali ini tidak lagi menyalak. Orang-orang tua kata, kalau terdengar anjing buat bunyi macam tu, maksudnya dia sedang memberi tahu bahawa benda halus itu sememangnya ada.
            Arel segera menoleh memandang jalan raya semula. Dia sudah rasa seram sejuk. Bulu romanya juga sudah meremang. Arel segera memeluk tubuh dan menggosok kedua-dua belah lengannya. Rasa dingin.
            “Astaghfirullahalazim!” Cepat-cepat Arel beristighfar apabila dia sedar dia sudah terlalu melalut entah apa.
            Walaupun benda halus itu ada di sekeliling, kita tak boleh takut. Buat apa nak takut sebab benda halus itu juga merupakan makhluk Allah. Benda itu juga punya hak untuk terus hidup di muka bumi ini. Di muka bumi Allah ini, sememangnya bukan hanya manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang ada. Masih terdapat makhluk ghaib yang telah diciptakan tetapi tidak dapat dilihat. Makhluk yang juga mempunyai kehidupan dan matlamat hidupnya sendiri.
            “Hmm, bagus Arel. Motivasikan diri sendiri. Think positive than negative!”
            Penat menunggu kereta yang lalu lalang, Arel mengambil keputusan untuk berjalan kaki saja. Mungkin dia akan sampai dalam masa sejam. Tak jauh mana pun sebenarnya.
            Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluarnya. Langkah kakinya dibuka perlahan. Nak buka langkah yang besar dan laju pun tidak boleh. Perutnya masih terasa sakit. Kepalanya juga terasa sengal kesan dipukul oleh penyerang tadi.
            Berjalan di tepi jalan raya sambil menikmati angin malam yang dingin sememangnya nyaman. Tenang saja rasanya walaupun ditemani suasana yang sunyi dan bunyi-bunyi serangga dari hutan. Perasan yang tidak dapat dirasai jika menaiki kereta.

“OKEY! Cupcake yang terakhir.” Nan tersenyum puas tatkala kek cawan yang terakhir siap dimasukkan ke dalam tempat simpanan khas kek dan kek cawannya.
            Bebola matanya bergerak ke arah jam pada dinding dapur. Nan sedikit terkejut tatkala jarum jam yang panjang itu menunjuk ke arah angka satu. Sudah pukul satu pagi. Dengan segera Nan mengemas meja dan dapurnya yang berselerak dengan bahan-bahan kek dan kek cawannya itu.
            Sedang Nan mengemas meja dapur, tiba-tiba dia terdengar bunyi anjing menyalak. Begitu jelas dan kuat. Serta merta bulu roma Nan meremang. Tangannya semakin pantas dan ligat mengemas meja dapur.
            Nan menjadi kaku. Tangannya yang sibuk mengemas tadi serta merta terhenti. Buat beberapa saat Nan tidak bergerak. Jantungnya juga seakan-akan berhenti berdegup. Hembus tarik nafasnya juga sudah tidak sederas tadi.
            Gulp! Nan menelan air liur yang terasa kelat. Dia tahu dia tidak menutup jendela. Memang dia sengaja tidak menutup jendela kerana ingin merasakan angin malam yang dingin. Tetapi ketika dia sedang sibuk mengemas tadi, hujung matanya menangkap satu figura hitam yang melalui jendela. Figura hitam itu datang dari arah depan dan bergerak ke belakang. Pada saat itulah, segala pergerakannya terhenti.
            Perlahan-lahan Nan menoleh ke kanan. Jendela yang terbuka luas itu kosong. Hanya pemandangan luar yang menyapa mata. Dengan pergerakan yang terbatas dan senyap, tangan Nan meliar mencari barang di bawah meja tanpa mengalihkan langsung matanya dari jendela.
            Nan menggenggam sesuatu. Barang yang dipegang dilekapkan ke dada. Pan yang sememangnya diletak di bawah meja itu sudah berada di dalam genggaman. Dengan perasan yang bercampur baur Nan bergerak keluar dari dapur dan terus ke luar rumah. Dia ingin memastikan apakah figura hitam yang ditangkap dari hujung matanya tadi. Manusia atau hantu?
            Sejujurnya Nan berasa takut. Takut jika figura hitam tadi bukannya manusia. Kalau manusia, bolehlah dia pukul dengan pan sampai pengsan tapi macam mana kalau bukan manusia. Macam mana kalau figura hitam itu sebenarnya hantu? Ya Allah!
            Dengan langkah yang kecil dan perlahan, Nan menapak satu persatu ke belakang rumah. Takut, gelisah, dan seram semuanya ada. Boleh saja dia berjalan keluar melalui pintu dapur tapi jika dia berbuat demikian dia tidak akan dapat menghendap figura hitam itu tadi. Tak pasal-pasal kedua-duanya kena heart attact kalau Nan buka pintu nanti.
            Nan bersandar pada dinding. Nafasnya ditarik dalam sebelum kepala dijengul ke kiri dan menoleh untuk melihat siapakah atau pun apakah figura hitam tadi. Berkerut dahi Nan tatkala melihat figura hitam itu sedang terbongkok seolah-olah sedang mencari sesuatu di dalam kotak yang sememangnya ada di situ. Nan hanya diam tidak bergerak. Matanya terkelip-kelip saat melihat tali serat sudah berada di tangan figura hitam itu. Kemudian figura hitam itu meletakkan kembali tali serat itu ke dalam kotak. Buat seketika figura hitam itu diam seolah-olah sedang berfikir sesuatu. Ketika figura hitam itu mendongak ke atas, Nan turut mendongak ke arah yang dilihat figura hitam itu. Ternyata figura hitam itu memandang ke arah balkoni bilik Arel.
            Nan masih lagi belum pasti sama ada figura hitam itu manusia atau hantu kerana suasana yang gelap. Tetapi apa yang pasti figura hitam itu lebih tinggi daripadanya. Nan masih lagi kaku tidak berkutik. Hendak diserang tapi takut pulak yang diserangnya itu hantu.
            ‘Hmm, macam mana nak kenal pasti sama ada dia ni manusia atau hantu ya?’ Nan bermonolog di dalam hati. Fikirannya dipaksa untuk memikirkan bagaimana caranya.
            ‘Hah!’ Tiba-tiba mentol idea Nan menyala.
            Nan melihat ke atas tanah yang ditumbuhi rumput hijau. “Hah! Ada bayang!” Nan menjerit gembira di dalam hati. Nan tersenyum lebar apabila figura hitam itu sudah dikenal pasti. Manusia! Alhamdulillah… Nasib baik bukan hantu, syukur Nan di dalam hati. Tetapi kegembiraan yang bermukim di dalam hati tu hanya sebentar menyinggah di hatinya. Senyumannya hilang serta merta.
            ‘Tapi… tapi siapa?’
            Nan menjadi cuak. Dia kembali teringat tentang berita yang ditontonnya tadi. Banduan! Aduh… Kenapa la banduan ni pergi rumah aku. Hei! Apa kau orang ingat rumah aku rumah persinggahan banduan yang lari dari penjara ke? Huh! Hari tu pun ya jugak…
            Eh… eh… eh! Hari tu bukan banduan. Hari tu Arel yang ketuk pintu. Takkan la orang yang sedang memerhatikan balkoni bilik Arel itu suaminya? Kalau benar itu Arel, mana kereta merah garang lelaki itu? Dia tahu, kereta mahal lelaki itu tiada di perkarangan rumah.
            Tak tak tak! Ini bukan Arel! Kali ini aku pasti, orang yang memandang ke arah balkoni bilik Arel ini orang asing yang tidak dikenali. Banduan! Melalui ketinggian dan susuk tubuh figura itu, kemungkinan orang itu ialah seorang lelaki. Ya, memang tidak dapat dinafikan lagi!
            “Bismillah…”
            Dengan tekad yang kuat bercampur dengan perasaan takut, Nan bergerak ke arah lelaki tersebut. Pan digenggam erat. Sampai saja dibelakang lelaki itu, pan di angkat tinggi.
            “Haiyakkk!”
            Buk!
            Dengan serta merta lelaki itu terjelopok jatuh ke tanah. Tertiarap dan muka lelaki itu juga terselindung. Nan menguis kaki lelaki itu dengan hujung seliparnya beberapa kali. Setelah lelaki itu dipastikan tidak sedar diri, bibir Nan perlahan-lahan mengukir senyum. Semakin lebar.
            “Siapa suruh kau ceroboh rumah aku? Kan dah kena hempuk dengan aku.” Marah Nan sambil bercekak pinggang. Terasa bangga apabila dia dapat mempertahankan rumahnya itu daripada dirompak banduan.
            Nan memegang bahu lelaki itu dan dipalingkan tubuh yang sasa itu. Sebaik saja tubuh dipalingkan, wajah yang terselindung tadi jelas terbentang di mata Nan. Pada mulanya Nan mengerutkan dahi. Keadaan yang gelap menyukarkan dia mengecam wajah lelaki itu. Daripada berdiri Nan duduk mencangkung. Ingin dilihatnya wajah lelaki itu dengan jelas. Sebaik saja wajah itu kian jelas menyapa pandangan, mata Nan terbuntang dan mulutnya juga sudah terlopong.
            Buat beberapa saat Nan pegun tidak terkata. Matanya langsung tidak berkelip walau sekali. Setelah seminit dia kaku tidak bergerak, telefon bimbit di kocek seluar diseluk. Dengan pantas dia mendail seseorang.
            “Shasha! Kejadian berulang kembali!”


“APA hobi kau sebenarnya?”
            Nan yang sedang menongkat dagu segera menoleh ke kanan memandang ke arah Shasha. Berkerut dahinya tatkala mendengar soalan Shasha yang dirasakan pelik itu.
            “Kenapa tiba-tiba tanya pasal hobi pulak?” soal Nan kehairanan.
            Kepalanya kembali dipalingkan ke hadapan memandang sofa hitam yang menampung sekujur tubuh sejak sejam yang lalu.
            “Jawab je la,” gesa Shasha sambil menyilangkan kaki. Shasha memandang Nan dengan wajah yang kosong tanpa riak.
            “Emm, aku suka cipta resepi baru untuk kek dan cupcake aku. Kau ni kenapa?” Nan menggaru kepalanya yang tidak gatal.
            “Oh, ya? Hobi kau bukannya menghempuk kepala orang dengan pan ke?” Shasha memerli Nan.
            Nan menjeling Shasha tajam sebelum mencebik tanda tidak puas hati dengan. Geram pulak apabila Shasha dengan selamba memerlinya. Ugh!
            “Kau perli aku kan, Shasha?” Matanya yang bulat dikecilkan memandang wajah Shasha.
            Shasha tidak membalas. Bahunya diangkat sebelum senyuman nipis tersungging di bibir.
            “Aku tahu kau perli aku tadi.” Nada suara Nan seolah-olah sedang berjauh hati dengan Shasha. “Aku tahu la aku ni troublemaker kan. Aku tahu aku selalu buat masalah. Maaflah sebab kacau kau malam-malam buta ni.”
            Nan menundukkan kepala. Sungguh dia kecil hati apabila Shasha seolah-olah sedang menyalahkannya.
            Senyuman Shasha semakin lebar. Geli pulak hatinya apabila Nan seperti sedang merajuk dengannya. Ala, dah lama tak usik Nan. Sekali-sekala tak apa kan?
            “Tak apa la. Kau boleh pulang sekarang. Maaf sebab menyusahkan.” Nan semakin berjauh hati.
            “Ada orang merajuklah,” Shasha tergelak tatkala melihat wajah Nan yang suram. “Alololo… manjanya Puan Comel ni.”
            Nan menghadiahkan jelingan tajam buat Shasha. Tak suka apabila digelar Puan Comel. Ugh!
            “Sudahlah! Pergi la balik.” Nan memeluk tubuh sambil memalingkan tubuh. Merajuk benar dengan Shasha.
            “Aik, menghalau nampak?”
            Semakin sakit mata Nan tatkala melihat Shasha yang tersengih-sengih.
            “Shasha!”
            “Okey okey okey!” Shasha mengangkat kedua-dua tangannya bak penjenayah yang menyerah kalah.  “Sekarang ni kita serius.”
            “Hmm…”
            “Okey… Kenapa kau hempuk kepala suami kau? Eh, ini kali kedua kau hempuk kepala dia tau.”
            “Kau fikir aku ni suka sangat ke hempuk kepala si Arel ni?”
            “Mungkin?” Shasha menjongket bahu sebelum tersengih macam kerang yang tak wangi tatkala melihat wajah Nan yang kegeraman.
            “Eh, kau fikir aku ni tiada kerja lain ke nak dibuat selain dari hempuk kepala lelaki ni. Huh!” Nan mendengus kasar sebelum menyambung kata. “Manalah aku tahu lelaki yang aku pukul tu Arel. Siapa suruh berlagak macam pencuri. Eh, aku cuak tahu! Kau tak tahu  ke semalam ada banduan yang terlepas dari penjara. Mestilah aku fikir yang lelaki ni banduan.”
            Arel yang sedang baring di atas sofa itu dijeling sekilas. Ya! Figura hitam yang disangkakan hantu dan banduan tadi itu sebenarnya Arel. Suami merangkap musuhnya. Mungkin sudah takdir Arel dihempuk dengan pan olehnya sebanyak dua kali. Nasib kau la, Arel!
            “Alasan yang sama. Hari tu pun kau sangka banduan yang ketuk pintu kau. Malam ni pun kau fikir benda yang sama. Kau fikir rumah kau ni tempat persembunyian banduan yang lari dari penjara ke?” Shasha mencebik apabila mendengar alasan Nan. Alasan yang sama diberikan oleh Nan pada dua minggu yang lalu.
            “Dah memang itu kebenarannya. Lagipun Arel ada cakap dengan aku, dia tak akan pulang malam ni. Tup tup… boleh pulak dia muncul di belakang rumah. Memang menyusahkan betul la lelaki ni.” Nan merungut geram.
            Shasha hanya menggelengkan kepala. “Nan… Nan…”
            “Apa? Kau tak boleh salahkan aku seratus peratus, okey! Aku ada hak untuk pertahankan diri.”
            Nan menggigit bibir. Geram dengan Shasha yang seolah-olah tidak menerima alasan yang diberikan. Lebih geram lagi dengan Arel yang bercakap tak serupa bikin. Eleh! Tak balik rumah konon. Tiba-tiba ada kat belakang rumah tu apa kes?
            “Jadi sekarang macam mana?” Shasha bersandar pada sofa sambil memandang Nan yang merenung Arel dengan lagak tidak puas hati.
            “Macam mana apa?” soal Nan pulak, tidak mengerti dengan soalan Shasha itu.
            “Sekarang ni tukang masak kau dah pengsan. Jadi… restoran kau esok macam mana? Kau tetap nak buka ke?”
            Nan diam tidak membalas. Dia juga tidak punya jawapan untuk soalan Shasha itu.
            “Nan?”
            “Hmm… Aku tak tahulah, Shasha. Takkan la kau nak aku tutup kedai lagi.” Nan mengeluh berat. Berat hatinya untuk menutup kedai buat sehari lagi.Sudah dua minggu dia tidak buka kedai. Nanti apa pulak tanggapan pelanggannya? Walaupun dia tetap menerima tempahan secara panggilan selama dua minggu ini, hatinya tetap tidak suka untuk menutup kedai lama sangat.
            “Aku rasa kau kena tutup kedai juga esok.” Shasha hanya memandang simpati ke arah Nan. Dia tahu Nan teringin sangat membuka restorannya esok.
            “Ish!” Nan merengus tidak puas hati. Tubuhnya disandar kasar pada kepala sofa sebelum memandang wajah Arel dengan riak muka tidak puas hati. “Ini semua Arel punya pasal. Tak pasal-pasal aku kena tutup kedai lagi. Ugh! Menyusahkan!”
            Shasha tersenyum lucu tatkala mendengar rungutan tidak puas hati Nan itu. “Bukan salah dia sepenuhnya. Kau pun salah juga. Kalau kau tak hempuk kepala dia, dia takkan pengsan.”
            Nan menjeling tajam wajah selamba Shasha. Bibir diketap geram. “Kau ada crush dengan Arel ke?”
            “Aku? Mana ada!” sangkal Shasha. Berkerut dahinya apabila Nan seolah-olah sedang menuduhnya punya hati dengan Arel. Tapi… kalau Arel itu bukan suami Nan, memang tidak dapat dinafikan bahawa dia akan memikat Arel juga. Hey, he’s hot, okay!
            “Kalau macam tu, berhenti dari bela dia. Aku kawan kau, bukan si Arel ni!” Memang tak puas hati betul. Dari dulu lagi, Shasha suka benar membela Arel.
            Shasha tergelak kecil apabila melihat mulut Nan yang muncung. Alahai… Dengan suami sendiri pun nak merajuk ke? Nan… Nan… Tergeleng-geleng kepalanya melihat gelagat Nan itu.
            “Tapikan… aku tak salah sepenuhnya juga.”
            Shasha mengangkat kening tatkala mendengar bicara Nan itu. “Kenapa?”
            “Aku tak nampak pun kereta Arel dekat laman rumah tadi.” Ini yang membuatkan Nan musykil sedari tadi. Dia tahu dia salah sebab menghempuk kepala Arel tadi tapi dia tidak patut disalahkan sepenuhnya. Sememangnya kereta merah yang dibawa lelaki itu tadi pagi tiada di laman rumah.
            “Habis tu, kereta yang berderet dekat garaj tu apa? Bukan kereta Arel ke? Jangan pulak kau cakap dengan aku yang semua kereta depan rumah tu kereta kau.” Shasha mencebik. Kereta yang berderet di garaj semuanya kereta mewah dan edisi terhad. Kesemua nombor plat kereta itu juga ialah nama Arel. AR31. Hah! Nombor plat atas nama Arel jugak. Memang yakin sangat bukan kereta Nan.
            Nan menjulingkan mata ke atas. “Memanglah semua kereta tu kereta Arel tapi tadi pagi Arel bawa kereta Ferrari merah garang dia tu. Aku tak jumpa pun kereta tu dekat garaj.”
            Shasha mengerutkan dahi apabila mendengar kata-kata Nan itu. Buat seketika dia terdiam sebelum membuka mulut untuk bertanya soalan kepada Nan.
            “Berapa buah kereta yang Arel ada sebenarnya? Bukan hari tu dia beli kereta Ferrari merah je ke?”
            Nan tersenyum sinis. “Semuanya ada sepuluh. Kereta kat luar tu dia import dari luar negara. Kereta dia juga tapi dia import ke sini. Saja nak berlagak!” Cemuh Nan.
            Shasha tersenyum lucu tatkala mendengar ayat terakhir Nan. Ada nada tidak puas hati di situ.
            “Kaya juga suami kau kan, Nan.”
            “Entah! Jangan tanya aku. Bukan kau lebih tahu ke pasal Arel ni?” Sebelah kening dijongket dan senyumannya senget memandang Shasha. Shasha pulak dilihatnya hanya tersengih-sengih memandangnya.
            “Jadi… kau dah ada keputusan ke?” soal Shasha setelah beberapa minit membisu.
            “Keputusan apa?” Nan menekup mulut dek menguap. Sudah hampir pukul tiga pagi jadi memang wajarlah dia mengantuk.
            “Restoran kau?”
            Nan menggaru kepala yang tidak gatal. “Terpaksalah aku tutup dulu. Lagipun aku belum tahu lagi angin si Arel ni esok. Kalau dia jadi hulk nanti, habis semua pelanggan aku lari.”
            Shasha tersenyum lucu sebelum dia turut berdiri tatkala melihat Nan berdiri sama.
            “Jomlah, tidur. Kau boleh tidur di bilik tetamu sebab bilik kau yang dulu dah kena ambil oleh Arel.” Nan sudah bergerak ke arah tangga untuk menaiki tingkat tiga. Arel pulak hanya dibiarkan tidur di atas sofa di tingkat dua. Dia dengan Shasha sudah tidak larat untuk mengangkat tubuh Arel ke tingkat tiga tadi. Berat!
            “Okey!”
            Nan dan Shasha sama-sama menaiki tangga ke tingkat tiga. Baru saja Nan membuka pintu biliknya, Shasha bersuara.
            “Eh, jangan pulak kau lupa untuk telefon Kak Cham.”
            Nan menepuk dahi. Nasib baik Shasha mengingatkannya, jika tidak tentu dia lupa. Sebaik saja keluar dari bilik air, Nan mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja solek. Tubuhnya dibaringkan ke atas katil sebelum mendail telefon Kak Cham.
            “Kenapa Nan?” soal Kak Cham setelah menjawab salam yang diberikan Nan. Hatinya sedikit risau apabila Nan menelefonnya pada pukul tiga pagi.
            Pada ketika itu juga Nan terpandang jam digital pada dinding biliknya. Pukul tiga pagi! Aduh, Nan! Yang kau pergi telefon Kak Cham jam tiga pagi kenapa? Patutlah suara Kak Cham kedengaran gelisah dan risau.
            “Erk… Nan kacau Kak Cham ke? Sorry, Nan tak perasan sekarang dah pukul tiga pagi.” Nan menggaru kepalanya.
            “Taklah, jangan risau. Kak Cham baru je bangun sebab nak solat Dhuha. Nan ada masalah ke?” Dia baru saja keluar dari bilik air setelah selesai mengambil wuduk. Baru saja dia membentangkan sejadah, telefon bimbitnya berbunyi. Memang dia berasa pelik apabila nama Nan yang tertera pada skrin telefon.
            “Tak ada masalah berat pun sebenarnya. Nan cuma nak beritahu yang Nan tak jadi buka kedai esok.”
            Berkerut dahi Kak Cham. Masuk kali ini, sudah dua kali Nan tidak jadi membuka kedai. Dia menjadi risau jika Nan punya kesulitan sehingga tidak mmbuka kedai. “Nan ada masalah ke sampai tak jadi buka kedai ni? Maaflah kalau Nan anggap Kak Cham ni penyibuk tapi Kak Cham risau dengan Nan je.”
            “Kak Cham tak payahlah risau. Ada hal yang kena Nan uruskan. Ingatkan dah boleh selesaikan hari ni tapi tak boleh juga.” Nan tersengih apabila mulutnya lancar berbohong. Hmm… semenjak ada Arel ni, selalu sangat aku berbohong. Masalah betul la si Arel ni.
            “Oh! Kalau macam tu tak apa la.”
            Setelah panggilannya dengan Kak Cham tamat, telefon bimbit diletakkan di atas meja tepi katil.
            “Apa la yang bakal terjadi esok? Kalau dulu dia nak saman aku sampai kena kahwin, sekarang tak tahu pula apa helah si Arel ni. Hmm…” Matanya dipejam rapat dan sesaat kemudian dia terus dibuai tidur.

“NAH!”
            Nan menghulurkan secawan Nescafe kepada Shasha sebelum dia melabuhkan duduk di sebelah gadis itu. Cawan miliknya pula diletakkan di atas meja dihadapan sebelum mencapai sebungkus biskut.
            “Nak?” Nan menoleh ke sebelah dan menghulurkan sebungkus biskut yang diambil tadi.
            Shasha hanya mengambil huluran Nan itu sebelum melemparkan senyuman. Buat pertama kali dia dan Nan bersarapan di ruang tamu di tingkat dua. Jika dahulu ketika dia masih lagi tinggal bersama Nan, mereka pasti akan bersarapan dengan makanan yang berat seperti nasi goreng atau pun nasi lemak di dapur tetapi kini mereka hanya bersarapan dengan biskut.
            “Eh, boleh aku tahu kenapa kita kena bersarapan di sini?” soal Nan sebelum menyumbat sekeping biskut ke dalam mulutnya. Wajah Shasha di sebelah diperhatikan lama untuk menagih jawapan.
            Nan pelik sebenarnya. Sebaik saja dia keluar dari biliknya tadi, Shasha sudah pun berada di hadapan mata. Walaupun dia tengah bingung, Nan menurut saja apa yang dikatakan Shasha. Shasha menyuruhnya ke dapur untuk mengambil beberapa bungkus biskut ke tingkat dua, dia turuti saja. Shasha menyuruhnya membancuh air nescafe untuk mereka berdua pun dia menurut. Tapi tujuan Shasha untuk bersarapan di ruang tamu di tingkat dua itu masih lagi belum dikenal pasti.
            “Sekejap lagi jam lapan,” ujar Shasha pendek sebelum menghirup sedikit air nescafe yang dibancuh oleh Nan itu.
            “So?” Nan menjadi semakin blur. Terkelip-kelip matanya memandang wajah bersahaja Shasha.
            “Tepat jam lapan, Arel akan bangun.”
            “Huh???” Sebelah keningnya dijongket. Kemudian, dia mengalihkan pandangan mata ke hadapan, memandang sekujur tubuh Arel di atas sofa yang jauh satu meter dari tempat duduknya kini. Matanya dikelipkan sekali sebelum bebola matanya kembali merenung wajah Shasha untuk minta penjelasan yang lebih lanjut. Sebelah keningnya masih lagi dijongket sebelah.
            “Kenapa?” soal Shasha tanpa memandang wajah Nan.
            “Tepat jam lapan dia akan bangun?” Bungkusan biskut di tangan diletakkan di atas meja.
            “Ya!” jawab Shasha yakin sebelum dia menoleh memandang wajah Nan di sebelah dan melemparkan senyuman.
            “Yakinnya?” Nan tersenyum sinis apabila mendengar nada suara Shasha yang yakin itu. “Apa yang buat kau yakin sangat si Arel ni akan bangun tepat jam lapan?”
            “Dulu pun kau pernah hempuk dia kan?” Shasha menghabiskan airnya dan cawan kosong diletakkan di atas meja.
            “Jadi?”  Nan mendekatkan cawan ke mulutnya dan menghirup sedikit air nescafe yang dibancuhnya itu.
            “Aku masih ingat, hari tu dia bangun tepat jam lapan. Kalau hari tu dia bangun jam lapan, maksudnya sekarang pun dia akan bangun jam lapan.” Terang Shasha dengan lancar tanpa ragu-ragu.
            Nan pulak sudah mengerutkan dahi mendengar penjelasan Shasha itu. Teori apa yang Shasha pakai? Ada ke patut Shasha fikir macam tu? Memang dia tidak percaya langsung dengan teori yang digunakan Shasha itu. Memang merepek baginya.
            “Dua puluh saat lagi jam akan menunjuk ke angka lapan. Aku akan buktikan yang aku tak merepek.” Ujar Shasha lagi apabila melihat riak wajah Nan yang jelas tidak percaya dengannya itu. Dia sendiri pun tidak tahu sama ada teorinya itu betul atau tidak tetapi kata hatinya yakin benar bahawa Arel akan bangun tepat jam lapan sama seperti kali pertama dahulu.
            “Okey!” Nan tersenyum sinis.
            Nan dan Shasha masing-masing memandang jam besar pada dinding putih di tingkat dua itu. Di dalam hati, baik Nan mahupun Shasha, kedua-duanya sedang mengira. Lagi lima saat.
            Satu… Dua… Tiga… Empat… Lima…
            Tepat jam lapan!
            Nan dan Shasha berpandangan sesama sendiri sebelum memandang hadapan ke arah Arel.
            ‘Aku yakin aku betul, Nan!’ kata hati Shasha.
            ‘Aku yakin kau salah, Shasha!’ bisik hati Nan.
            “Aduh!”
            Mata Nan dan Shasha kedua-duanya membulat. Shasha tersenyum lebar dan penuh bangga. Nan pula merengus kasar sambil mata dijuling ke atas.
            “I told you.” Shasha mengenyit mata.
                        Nan mencemik sebelum kembali memberi perhatian ke arah Arel. Tak sangka pulak teori Shasha tu betul. Memang tak masuk akal betul. Huh!
            Arel yang pada mulanya berbaring perlahan-lahan bangun. Tangan lelaki itu memegang kepala sebelum jatuh ke belakang tengkuknya. Kaki yang berlunjur dijatuhkan ke atas lantai. Kemudian, tubuhnya disandarkan pada kepala sofa dengan mata yang masih lagi terpejam. Dahi lelaki itu berkerut seolah-olah sedang menahan sakit.
            Nan dan Shasha masing-masing membisu tidak membuka mulut untuk bersuara. Perlakuan Arel sejak dari berbaring sehingga duduk hanya diperhatikan saja. Nan dan Shasha langsung tidak punya niat untuk menegur. Masing-masing menunggu Arel membuka mata dan mulut.
            Akhirnya, mata Arel yang terpejam dicelik. Kini bebola matanya terarah tepat pada wajah Nan. Matanya dikelip sekali sebelum dialihkan pula memandang wajah Shasha. Mata dikelipkan dua kali sebelum sekali lagi bebola mata bergerak ke arah wajah Nan. Kali ini mata tidak dikelip lagi. Wajah Arel kosong tanpa riak. Anak matanya pula tunak merenung mata Nan.
            Sesaat... Dua saat… Tiga saat…
            Krik! Krik! Krik!
            Suasana hening. Nan dan Shasha sudah mula mengerutkan dahi. Masing-masing menjadi bingung dan pelik.
            ‘Kenapa Arel tak putus-putus merenung Nan? Dia nak marah Nan ke?’ monolog Shasha di dalam hati.
            ‘Mamat kerek ni dah kenapa? Kalau nak marah tu marah je la. Renung aku sampai nak tembus tu kenapa?’ bisik hati Nan yang tidak selesa. Seram sejuk dia dibuatnya apabila melihat panahan mata Arel itu.
            “Awak siapa?” soal Arel polos.
            Kerutan di dahi Shasha semakin bertambah manakala Nan pula sudah merengus kasar.
            “Jangan nak main-mainlah. Aku tahu kau nak marah aku kan? Marah je la.” Nan memeluk tubuh.
            Riak wajah Arel masih lagi seperti tadi. Kosong dan nampak polos.
            “Kenapa diam? Eh, jangan nak main-mainlah Arel! Jangan berlagak innocent boleh tak?” Hati Nan semakin mendidih. Entah kenapa hatinya tidak enak apabila melihat riak wajah Arel itu. Riak wajah yang tidak pernah dia nampak. Mana wajah kerek Arel? Kenapa tiba-tiba riak wajah bertukar jadi bayi ni?
            Arel menggelengkan kepala. “Awak siapa?”
            Shasha tersentak.
            Nan memandang tajam wajah Arel.
            “Saya… Saya siapa?” soal Arel lagi dan kali ini lebih kepada menyoal dirinya sendiri. Riak wajah bingung juga sudah terpeta di wajah Arel.
            Mata Nan dan Shasha terbuntang.
            “Awak siapa?” Tepat anak mata Arel merenung mata Nan.
            Shasha terlopong.
            Nan terkaku.

            Bala!!!

p/s : 2 chapters... untuk menebus kesalahan sebab tak update blog lama sangat :) Enjor reading n jgn lupa komen kay ^_^

11 comments:

  1. wahh dye ilg ingtn pula!! biar betul??

    ReplyDelete
  2. Assalamu'alaikum wr wb...Cik Penulis, jam 3pagi sepatutnya solat Tahajjud ke, taubat, hajat atau istikharah...bukan solat dhuha...kalau solat dhuha jam 8pagi ke atas...harap diperbetulkan ye...hehe...peace...wassalam ~ Umra~

    ReplyDelete
  3. Kesian aril.. btul ke die hilang ingatan? takkan smpai cmtu skali.. huhu..tak sbar nk tgu nxt chpter..

    ReplyDelete
  4. hehehe best2 next n3 plxzz

    ReplyDelete
  5. Amnesia pulak dah ke?
    Kesian dekat Arel...

    ReplyDelete
  6. arel amnesia??? wahhh mkin best cite ni

    ReplyDelete
  7. next n3 please.....

    ReplyDelete
  8. Ble nk kuar next n3 .. .... dh lme tunggu

    ReplyDelete
  9. Bile nk kuar next n3 plzzz jangan stop

    ReplyDelete