Wednesday 8 October 2014

Comel Is My Pet 28



NAN menggaru kepala. Kemudian, tangannya diturunkan ke riba. Bebola mata bergerak memandang wajah polos Arel. Tetapi tidak lama. Matanya dialihkan daripada wajah Arel. Kali ini, Nan menggaru pipi kanannya. Setelah itu, dia menggaru lagi pipi kirinya. Pendek kata, dia menjadi serba tidak kena.

            “Nan…” Shasha menyiku lengan sahabatnya. Dari tadi tergaru sana sini. Garu kat kepala la, kat pipi la. Macam ada kurap je.
            Nan menoleh memandang Shasha di sebelahnya namun hanya sebentar. Dia faham bahawa Shasha ingin dia membuka mulut. Sejak dua puluh minit yang lalu, semuanya senyap membisu.
            Nan menggaru pula kening kanannya membuatkan Shasha sekali lagi menyiku lengannya. Yalah yalah yalah! Aku nak buka mulut la ni. Kalau iya pun sabarlah dulu. Nafas ditarik dalam.
            “Emm… Kau… kau tak tahu kau siapa?” soalan pertama Nan.
            Dengan perlahan Arel menggeleng kepala. Sedari tadi matanya hanya tertumpu pada wajah comel yang mempunyai mata yang bulat itu. Hanya sesekali saja dia akan mengalihkan mata memandang gadis yang bermata sepet disebelah gadis comel itu. Entah kenapa hanya wajah comel itu saja yang menarik perhatiannya.
            “Okey… Kau… kau tak ingat perempuan ni siapa?” soalan kedua Nan sambil menunjuk ke arah Shasha disebelah.
            Sekali lagi Arel menggelengkan kepala.
            “Kalau macam tu… kau kenal aku?” soalan ketiga Nan dan kali ini jari telunjukknya diarahkan pada dadanya.
            Arel diam tidak membalas. Matanya merenung jauh ke dalam anak mata gadis comel itu. Dia seolah-olah mengenali gadis itu tetapi kenapa dia tidak dapat ingat? Lagi sekali Arel menggelengkan kepala.
            Melihat gelengan Arel itu, Nan tersenyum lebar. Lebar sehingga ke telinga. “Wah, bagusnya!” Nan melompat kegembiraan sambil menepuk tangan.
            Arel mengerutkan dahi.
            Shasha pulak sudah terbeliak dengan riak wajah tidak percaya.
            “Aduh!” Nan menjeling Shasha tanda tidak puas hati apabila Shasha mencubit pahanya.
            “Kenapa gembira sangat? Kes Arel hilang ingatan ni bukan berita gembira, Nan!” bisik Shasha perlahan hanya untuk pendengaran Nan sahaja.
            “Bagi aku, ini berita gembira. Aku sangat gembira!” bisik Nan juga dengan senyuman lebar sehingga telinga.
            Shasha menyepetkan mata sambil mengetap bibir.
            “Kau tahu tak Shasha, Arel dah hilang ingatan. Dia dah hilang ingatan!” teruja Nan dengan kenyataan yang dia dan Shasha sudah sedia maklum itu.
            “Ini bermaksud aku akan dapat lepaskan diri daripada Arel. Mungkin aku boleh tipu dia yang aku dan dia bukan suami isteri atau mungkin...”
            “Mungkin?” Shasha sudah berpeluk tubuh sambil menahan rasa geramnya terhadap Nan.
            “Mungkin aku boleh minta cerai dengan dia! I will be free!”
            Buk!
            Nan mengusap kepala yang terasa sakit. Matanya menjeling Shasha yang sesedap rasa meluku kepalanya sebentar tadi. Haish, Shasha ni! Tak boleh nak tengok aku gembira langsung.
            Shasha kembali memandang hadapan ke arah Arel yang hanya dua meter daripadanya. Senyuman dilemparkan apabila melihat kerutan dan kebingungan yang terpeta pada wajah Arel. Dia tahu lelaki itu hairan dengan sikapnya dan Nan yang berbisik sebentar tadi.
            “Betulkah awak tak ingat awak siapa?” soal Shasha kepada Arel. “Nama awak apa? Keluarga awak? Pekerjaan awak? Tak ingat?”
            Arel menggelengkan kepala.
            “Dia dah hilang ingatanlah, Shasha. Macam mana nak ingat?”
            Shasha menjeling Nan sekilas.
            “Awak berdua siapa?” tanya Arel pulak.
            “Nama saya Shasha,” kemudian Shasha menunjuk ke arah Nan. “Nama dia pulak Nan.”
            Arel hanya menganggukkan kepala. Nan... Gadis comel dengan mata yang bulat itu rupanya Nan.
            “Kenapa saya ada kat sini?” soal Arel lagi.
            Shasha tidak terus menjawab. Sebaliknya dia mengerling ke arah Nan.
            Nan pulak sekadar bermain dengan jari jemarinya. Shasha sedari tadi asyik mengerling ke arahnya. Dia tahu Shasha sedang memberi isyarat agar dia menjawab pertanyaan Arel itu tetapi dia tidak tahu bagaimana.
            “Nan...” Suara Shasha meleret.
            Nan mendengus. Kepala yang sedari tadi menunduk didongak memandang wajah Arel. Sebaik kepala diangkat, matanya bertemu dengan mata Arel. Nan terkedu buat sektika. Lelaki itu sedang merenungnya. Bukannya dia tidak pernah direnung oleh Arel tetapi riak wajah lelaki itu kala ini sangat berbeza. Sangat polos.
            “Ehem...” Shasha berdehem sambil menyembunyikan senyuman. Dia tahu Nan sedang terkedu. Wajah gadis itu jelas kalut apabila dia berdehem.
            Nan menegakkan badan sebelum bersandar pada kepala sofa.
            “Kau nak tahu yang betul ke yang tipu?”
            “Ouch!” Nan mengusap lengan yang perit dek cubitan ketam Shasha. Habis lebam badan aku kalau asyik kena cubit oleh Shasha. Ala, salah kau juga Nan. Siapa suruh ajukan soalan bengong.
            Arel tersenyum nipis. Wajah cemberut Nan itu nampak comel di matanya.
            “Nama kau Tengku Putera Shayarel Amer bin Tengku Putera Moktar Hamidin.” Ujar Nan.
            Berkerut dahi Arel mendengar namanya yang panjang itu.
            Nan tersenyum sinis. “Nama kau memang panjang.” Entah siapa la yang beri nama panjang sangat. Tak boleh ke beri nama yang pendek je?
            “Orang panggil saya apa?” soal Arel lagi. Memang dia akui bahawa namanya itu panjang sangat. Rasa tidak percaya pulak apabila gadis comel itu memberitahu bahawa itulah namanya.
            “Arel,” a.k.a mamat kerek. Tapi masih sesuai lagi ke kalau aku panggil dia mamat kerek selepas ni. Yalah… Arel kan dah hilang ingatan.
            Arel menganggukkan kepala.Walaupun namanya panjang, nama panggilannya tetapi pendek dan mudah untuk disebut.
            “Awak siapa?”
            Nan mengerutkan kening.
            “Bukan kawan aku dah beritahu nama aku ke tadi? Nama aku Nan, Ain Nurhanani.”
            Arel menggelengkan kepala.
            “Saya maksudkan awak siapa kepada saya?”
            Nan menoleh memandang wajah Shasha. Matanya dikelipkan beberapa kali sebelum kembali memandang wajah Arel.
            Nak beritahu perkara yang sebenar ke? Nan mengeluh. Entah kenapa sekarang ni dah jadi sesi suai kenal. Bukan ini yang dia bayangkan semalam sebelum dia dibuai tidur. Dia bayangkan bahawa Arel akan bertukar menjadi hulk dan mengamuk dengannya. Tetapi tak sangka ini pulak yang terjadi…
            Shasha menyiku lengan Nan. Memberi isyarat agar Nan memberitahu perkara yang sebenarnya.
            “Aku...”
            Susah susah susah! Tak boleh beritahu Arel yang tipu ke? Peluang dah ada untuk aku lepaskan diri daripada Arel. Takkan nak sia-siakan peluang yang sudah terbentang di depan mata. Tetapi... Haih! Shasha tak habis-habis menjeling.
            Shasha mengeluh. Apa yang susah sangat si Nan nak berterus-terang?
            “Nan ialah isteri awak. Awak dan Nan baru sahaja berkahwin beberapa minggu yang lalu.”
            Nan mencebik. Akhirnya, Shasha yang memberitahu Arel perkara yang sebenar. Memang tak ada peluang untuk aku kelentong Arel.
            Arel sedikit terkejut. Suami isteri? Nan ialah isterinya?
            “Kami baru saja berkahwin?” soal Arel.
            “Ya.”
            Arel memandang Nan dengan riak wajah tidak percaya. Gadis comel ini merupakan isterinya?
            “Nan...” sebut Arel. Tetapi entah mengapa, lidahnya terasa kekok memanggil nama gadis itu.
            Nan menggaru pipi sebelum memandang wajah Arel. Sejujurnya, telinganya sukar menerima panggilan namanya meniti di bibir Arel. Yalah... Arel mana pernah panggil dia Nan. Selamanya, Arel panggil di Comel.
            “Nan, awak isteri saya?”
            Mahu tak mahu, Nan menganggukkan kepala.
            “Kita saling mencintai?”
            Spontan mata Nan membulat sebelum kepala digelengkan pantas. “No!”
            Arel menjadi bingung.
            Shasha sudah sembunyi senyum.
            Nan pulak sudah masam mencuka. Saling mencintai? Eeee! Tak pernah ada perkataan cinta dalam kamus kehidupan Arel dan Nan!
            “Now, look! Perkahwinan kita bukannya atas dasar suka sama suka. Sebenarnya aku berkahwin dengan kau sebab aku terpaksa. Sebab kau ugut aku. Kalau kau tanya aku kenapa dahulunya kau paksa aku kahwin dengan kau, itu aku tak tahu. Mungkin sebab kau nak balas dendam atas kejadian yang menimpa kau sewaktu kita di Korea dulu.”
            Panjang lebar penerangan Nan kepada Arel. Dia tidak mahu Arel salah faham. Nanti tak pasal-pasal Arel sangkakan bahawa selama ini mereka merupakan pasangan suami isteri yang bahagia.
            Dahi Arel semakin berlapis. Dia memegang kepalanya. Tiba-tiba kepalanya terasa sakit apabila dia cuba untuk mengingati apa yang dikatakan oleh Nan itu.
            “Awak okey ke?” soal Shasha. Dia menjadi risau apabila Arel memegang kepalanya.
            Arel mengangguk kepala dengan lemah.
            “Saya minta maaf. Saya tak ingat apa-apa.”
            Nan mengeluh. Susah la kalau macam ni. Takkan aku nak kena cerita segala yang berlaku antara aku dengan dia?
            “Macam mana dengan hubungan kita selama ni?” soal Arel.
            Nan menyilangkan tangan di dada.
            “Hubungan kita? Macam anjing dengan kucing. Dalam sehari, memang tak sah tak bergaduh. Kau suka sangat cari pasal dan buli aku.”
            Shasha hanya menggelengkan kepala.
            Arel menundukkan kepala.
            “Teruk sangat ke sikap saya pada awak sebelum ni?” perlahan saja suara Arel. Ada rasa kesal bermukim di hati apabila mendengar kenyataan daripada Nan. Melihat wajah cemberut gadis itu juga dia dapat tahu bahawa Nan membencinya.
            “Memang pun!” pantas saja Nan menjawab.
            Shasha menyiku lengan Nan. Nan ni... tak nampak ke Arel sedang rasa bersalah?
            “Saya minta maaf.”
            Nan mengangguk kepala namun sesaat kemudian Nan terkedu.
            “I’m sorry.”
            Pantas bebola mata Nan memanah anak mata Arel. Dia tercengang. Matanya juga tidak berkedip walau sekali.
            Shasha menjadi pelik. Yang Nan dah melopong ni kenapa?
            “Nan, kau dah kenapa?” soal Shasha.
            Nan menoleh memandang wajah Shasha dengan riak wajah yang kekal seperti tadi. Riak wajah tidak percaya.
            “Shasha... Arel minta maaf dengan aku. Dia tak pernah minta maaf dengan aku!”
            Nan kembali memandang wajah Arel.
            Wajah yang lirih.
            His eyes... are so sincere!

“KAU dah beritahu dia ke?” Nan menyoal sebaik saja Shasha melangkah masuk ke dalam ruang dapur. Shasha melabuhkan duduk di hadapan Nan.
            “Dah.”
            Sebentar tadi dia telah pun menceritakan kepada Arel tentang kisah pertemuan lelaki itu dan Nan di Korea. Dia turut menceritakan tentang bagaimana perkahwinannya dengan Nan terjadi. Itupun disebabkan permintaan Arel. Nak harapkan si Nan? Gadis itu telah turun ke dapur selepas terkejut dengan maaf yang dipinta oleh Arel.
            Nan menganggukkan kepala.
            “Dia okey tak?” soal Nan.
            “Dia okey je. Tapi sekarang dia hanya tahu tentang kisah pertemuan korang di Korea dan bagaimana perkahwinan korang boleh terjadi. Itu je. Yang lain-lain tu kau cerita sendiri la kat dia nanti.”
            Nan mengeluh. Kena cerita jugak ke?
            “Hai,” tiba-tiba ada suara lain yang mencelah.
            Shasha melemparkan senyuman kepada tuan empunya suara yang menyapa manakala Nan pula langsung tidak mengendahkan. Dia buat bodoh je.
            “Emm… Tengah buat apa?” soal Arel sambil menarik kerusi di sebelah Nan.
            Nan merengus dalam diam. Haish! Dalam banyak-banyak kerusi, kenapa pulak nak duduk sebelah aku? Pergilah duduk jauh sikit. Ish! Tak suka.
            “Tak buat apa-apa pun. Saya dengan Nan sembang-sembang je.” Shasha menjawab soalan Arel walaupun dia tahu lelaki itu bertanya kepada Nan. Kalau nak tunggu Nan yang buka mulut, memang tak la. Gadis itu terus buat muka bengang saat mendengar suara Arel.
            “Oh… Sebenarnya saya nak tanya. Saya ada telefon bimbit tak?”
            Shasha mengerut dahi apabila mendengar pertanyaan daripada Arel itu. Kemudian, dia memandang wajah Nan dan mengangkat kening, memberi isyarat agar Nan yang menjawab soalan Arel itu.
            Dengan rasa malas Nan menoleh memandang Arel di sebelah. Mak ai! Dekatnya dia duduk dengan aku. Dah buang tabiat ke apa? Dengan pantas Nan beranjak ke kerusi sebelah. Kini di antara dia dengan Arel ada sebuah kerusi kosong.
            “Kau memanglah ada telefon bimbit. Kenapa tanya?” Nan menjongketkan kening kepada Arel.
            “Saya tak jumpa pun telefon bimbit saya. Awak ada nampak tak telefon bimbit saya?” tanya Arel lagi tanpa mengalihkan pandangan mata daripada wajah Nan. Senyuman yang ingin terbit ditahan sebaik mungkin. Geli hatinya apabila Nan tiba-tiba bertukar tempat duduk. Mungkin bengang apabila dia begitu dekat dengan Nan tadi. Hmm… Bengang atau malu?
                        Nan mengerutkan dahi. “Kenapa tanya aku pulak? Kau fikir aku ni ahli nujum ke yang boleh tahu di mana telefon bimbit kau sekarang ada di mana?”
            Wajah Arel bertukar keruh. Kasar betul Nan menjawab pertanyaannya membuatkan dia terasa hati. Bukankah dia sudah meminta maaf tadi? Kenapa Nan masih lagi memusuhinya?
            Shasha yang melihat perubahan wajah Arel menjadi geram dengan Nan. Dia memandang tajam ke arah Nan tetapi sahabatnya itu langsung tidak mempedulikannya.
            “Auch!” Nan pantas menunduk untuk menggosok buku lalinya yang perit.
            Arel mengerutkan dahi apabila medengar jeritan Nan manakala Shasha pula buat muka kosong sambil membuang pandang ke sekeliling dapur.
            “Kenapa?” tanya Arel prihatin.
            Nan langsung tidak menjawab. Hanya bebola matanya yang merenung tepat ke arah Shasha. Shasha ni kenapa? Tiba-tiba nak tendang aku ni apa kes? Kes tak puas hati sebab aku layan Arel dengan kasar ke? Ceh!
            “Kenapa dengan kaki awak?” tanya Arel lagi apabila tidak mendapat sebarang balasan daripada Nan. Matanya silih berganti daripada memandang Nan dan Shasha. Arel menjadi pelik apabila Nan memandang Shasha macam nak telan tetapi Shasha pulak buat muka tiada perasaan.
            “Tak payah nak sibuklah.” Walaupun tidak selantang tadi, tetap juga kedengaran kasar.
            Arel sekali lagi terkedu. Hanya senyuman kelat yang terukir di bibir.
            Shasha pantas memandang tajam ke arah Nan. Haish, minah ni! Tak boleh ke jawab dengan lembut. Nak kasar-kasar tu kenapa?
            Nan yang mengerti dengan mesej yang ingin disampaikan melalui mata oleh Shasha itu mencebik. Dia merengus kasar sebelum kembali bersandar pada kepala kerusi.
            “Saya tak apa-apa. Ada nyamuk gigit tadi.” Memang tak logik betul apa yang dikatakan Nan itu. Apa? Pernah tak dengar orang menjerit gara-gara digigit nyamuk? Memang tak la!
            Walaupun jawapan Nan itu tidak masuk akal, Arel tetap menganggukkan kepalanya. Hatinya sedikit lega apabila Nan sudah tidak sekasar tadi walaupun tidak selembut Shasha.
            “Kenapa kau nak cari telefon bimbit kau?” soal Nan malas sambil menjulingkan mata ke atas. Bukannya dia yang ingin sangat menyoal Arel tetapi Shasha yang memaksa. Dari tadi sibuk kuis-kuis kakinya. Haish, rimas!
            “Saya nak periksa kenalan dalam telefon saya. Saya nak call dia orang, manalah tahu kawan-kawan saya boleh tolong saya ingat semula ingatan saya yang hilang.” Senyuman nipis tersungging di bibir apabila Nan sudi bertanya kepadanya. Walaupun daripada riak wajah gadis itu, dia tahu Nan terpaksa tapi itu sudah memadai.
            “Lah… Susah-susah pulak awak nak call kawan awak. Nan kan ada. Dia boleh tolong awak untuk ingat semula ingatan awak yang hilang tu.”
            Mata Nan sudah terbuntang tatkala mendengar bicara sahabatnya itu. Aku? Aku tolong Arel ingat semula apa yang dia dah lupa? Oit! Kenapa aku? Tajam matanya memandang wajah Shasha tetapi seperti biasa Shasha tak pedulikan dia.
            Arel tersenyum apabila mendengar kata-kata Shasha itu. Tetapi senyumannya pudar tatkala melihat riak wajah Nan yang jelas tidak suka. “Tak apa la. Saya tak nak menyusahkan Nan. Saya akan cari telefon bimbit saya nanti. Biarlah saya minta pertolongan daripada kawan-kawan saya.”
            Ek eleh! Nak merajuklah pulak mamat hilang ingatan ni. Apa? Kau ingat aku akan rasa kasihan then akan tolong kau ingat semula ingatan kau yang hilang tu? Helo, bro! Aku tak akan terpedaya dengan trick kau tu!
            Shasha menggigit bibir sambil melemparkan pandangan matanya yang bak helang itu kepada Nan. Ugh! Ada bini pun tak guna. Oit, Nan! Ingat sikit yang kau tu masih lagi isteri Arel.
            Nan mendengus tidak puas hati. “Tak payahlah nak susahkan kawan kau. Aku dengan Shasha boleh tolong dengan ingatan kau yang hilang tu.”
            Arel mengukir senyuman. Gembira hatinya apabila Nan sudi membantu dia.
            “Terima kasih. Kalau macam tu, sebagai balasan saya akan sediakan lunch untuk kita bertiga hari ni.”
            Nan menjongketkan sebelah kening manakala Shasha pulak sudah tersenyum lebar. Ewah, cik kak! Gembira nampak? Bersinar-sinar pulak mata sepet itu apabila Arel yang akan memasak untuk lunch nanti.
            Arel bangkit daripada kerusi dan bergerak menuju ke peti ais. Tangan lelaki itu ligat mengeluarkan makanan basah daripada peti ais dan kemudian diletakkan di tepi singki.
            “Wah! Memang ada hikmahnya kenapa aku tinggal di sini. Dapat jugak aku merasa masakan Arel. Mesti sedap!” Teruja betul Shasha kala ini.
            Nan mencebik. Over betullah Shasha ni. “Tak payah gembira sangatlah, Shasha. Kau yakin ke makanan dia tu sedap. Helo! Dia hilang ingatan, okey!” Perlahan saja suara Nan. Dia tidak mahu Arel mendengar perbualannya dengan Shasha. Karang lelaki itu merajuk. Hah! Siapa yang masak untuk lunch nanti? Nak harapkan dia? Tak payahlah!
            “Orang yang hilang ingatan tak semestinya hilang kemahiran.” Sejurus itu Shasha berdiri dan berjalan keluar dari dapur.
            Nan mengangkat bahu sebelum dia turut mengikut langkah Shasha. Tak ada maknanya dia nak berdua-duaan dengan Arel di dapur.
            Baru saja Nan memasuki kamar tidurnya, bunyi loceng rumah kedengaran. Loceng rumah itu sudah pun diganti dengan yang baru. Sewaktu pertama kali Arel ke rumahnya dahulu, loceng rumahnya rosak dan tidak berfungsi. Disebabkan itulah Arel terpaksa mengetuk pintu. Tak pasal-pasal dia menganggap Arel itu sebagai banduan yang terlepas dari penjara. Tetapi… Semalam dia tidak dengar loceng rumah berbunyi. Arel tidak menekan locengkah?
            Nan segera menyarung tudung dan bergegas ke tingkat bawah. Sebaik saja pintu dibuka, dua orang lelaki yang berpakaian seragam polis sedang berdiri di hadapan mata. Nan sudah mula mengerutkan dahi. Kenapa ada polis di sini?
            “Assalamualaikum, cik. Saya Inspektor Rahmat dan sebelah saya ini Inspektor Hadi. Kami ingin berjumpa dengan Tengku Putera Shayarel Amer. Tengku Putera ada di rumah?”
            “Saya Tengku Putera. Kenapa ya, encik?”
            Nan segera menoleh apabila mendengar suara garau itu menjawab. Ternyata Arel sudah pun berada di sisinya kanannya. Manakala Shasha pulak baru saja menuruni tangga dan menghampirinya.
            “Encik pemilik kereta Ferrari merah dengan nombor plat AR31?”
            Arel sudah mula mengerutkan dahi. Kemudian dia melihat sebuah kereta merah garang yang sedang terletak elok di halaman rumah. Itu kereta dia ke?
            Nan segera menyiku Arel membuatkan lelaki itu memandangnya. Nan memberi isyarat agar Arel mengiyakan pertanyaan Inspektor Rahmat. Sememangnya kereta yang berada di halaman rumah itu milik Arel.
            “Emm… Ya, itu kereta saya.”
            Inspektor Rahmat dan Inspektor Hadi tersenyum. “Pihak kami telah memberkas orang yang mencuri kereta encik pagi tadi. Orang yang telah mencuri kereta encik merupakan dua orang banduan yang terlepas dari penjara beberapa hari yang lalu. Encik bolehlah periksa jika terdapat sebarang kehilangan barang di dalam kereta.”
            Arel menoleh memandang Nan. Dengan rasa ragu-ragu dia bergerak mendekati kereta merah yang dikatakan kepunyaannya itu setelah Nan mengangguk. Pintu kereta dibuka dan Arel masuk ke dalam perut kereta di tempat pemandu. Matanya meliar memerhatikan isi kereta tersebut. Dia juga tidak tahu sekiranya ada barang yang hilang. Dia juga terkejut apabila dia dikatakan pemilik kereta mewah itu.
            “Ada sebarang barang yang hilang, encik?” soal Inspektor Hadi.
            Arel mencapai telefon Samsung Galaxy S4 pada kerusi sebelah pemandu itu. Mungkin inilah telefon bimbitnya. Patutlah dia tidak dapat menemui telefon bimbitnya walaupun puas menggeledah biliknya tadi.
            “Tak ada apa yang hilang, tuan.” Arel keluar daripada kereta.
            “Kalau macam tu, sila tandatangan di sini.” Inspektor Hadi memberikan borang dan menunjuk tempat yang perlu ditandatangani oleh Arel.
            Setelah semuanya selesai, dua orang anggota polis itu beredar. Arel pulak masih lagi berdiri di sisi kereta merah itu. Kereta Ferrari diperhatikan lama. Apabila menyedari Nan berdiri di sisinya, Arel membuka mulut untuk bertanya soalan.
            “Ini kereta saya ke?” soal Arel tanpa memandang ke arah Nan. Macam tak percaya pulak dia punya kereta mewah.
            “Memanglah. Tengok nombor plat pun dah tahu yang kereta ni kereta kau.”

            Kini persoalan tentang kehilangan kereta merah Arel sudah terjawab. Rupa-rupanya kereta Arel telah dicuri oleh dua orang banduan yang terlepas dari penjara. Patutlah dia tidak nampak kereta merah itu semalam.

p/s : Penulis lambat lagi post new chapter :( Ini merupakan bab terakhir yang akan di post sebab selepas ini cik penulis nak SPM dah... sekali lagi cik penulis nak minta maaf :( Cik penulis post the next entry insha allah selepas SPM.. enjoy reading and doakn SPM saya ^_^

12 comments:

  1. Hahah best .... okay I'll wait ... gud luck tau spm

    ReplyDelete
  2. Hehehe can't wait for the new n3 ....eheheh

    ReplyDelete
  3. Heheh best !!! Thumbs up

    ReplyDelete
  4. Heheh best !!! Next n3 please ... heheb

    ReplyDelete
  5. Wahhhh next n3 please .... heheh

    ReplyDelete
  6. Bile nk smbung ... Dh x sabar nk tunggu

    ReplyDelete
  7. Best !!!! Bile nk smbung ???

    ReplyDelete
  8. π_π bila nak sambung n3 ni...

    ReplyDelete
  9. Sis berminat untuk terbit karya ini. Sila email saya untuk perbincangan lanjut di alizismail@yahoo.co.uk

    ReplyDelete
  10. Masih menunggu sambungannya...

    ReplyDelete