Thursday 22 May 2014

Comel Is My Pet 25



“NAN! Lamanya aku tak jumpa kau. Rindunya!” Shasha yang baru saja tiba terus saja menegur Nan dengan rasa teruja. Kemudian, dia melabuhkan duduk di hadapan Nan.
           “Kau rindu aku? Boleh percaya ke?” Tangannya menongkat dagu sambil memandang wajah Shasha yang sudah hampir seminggu tidak dijumpa.
            “Eh, mestilah boleh percaya! Dulu kita duduk serumah jadi tak ada la aku rindu kau sangat. Bosan pun ada jugak.” Shasha tersengih apabila Nan menjelingnya. “Tapi sekarang ni kan kau dah berkahwin. Dah seminggu aku tak jumpa, memang aku rindu gila kat kau!” Terlepas tawa kecil dari bibir.
            Nan hanya tersenyum apabila mendengar bicara manis Shasha. Dia turut rindu dengan sahabat baiknya itu. Sudah bertahun-tahun mereka tinggal bersama. Sejak di universiti lagi, mereka tidur sebumbung  jadi apabila sudah berlainan rumah kini, rindu itu memang jelas terasa.
            “Kenapa aku tengok muka kau ni lesu je?” soal Shasha prihatin apabila melihat wajah Nan yan sedikit pucat tetapi serinya tetap ada. Pucat wajah itu langsung tidak mencacatkan kecomelan gadis itu.
            “Aku penat dan semalam aku tak cukup tidur.” Tangan kanan ditekup ke mulut apabila dia menguap. Sungguh dia penat.
            “Ya? Kau buat apa semalam?” Senyuman nakal sudah tersungging di bibir merah hati Shasha. Keningnya juga diangkat berkali-kali memandang Nan dengan penuh maksud tersirat.
            “Oit! Kau jangan nak fikir yang bukan-bukan ya.” Nan memberikan amaran tatkala melihat wajah nakal Shasha itu. Huh! Otak kuning betul.
            “Aku tengah fikir apa? Kau tahu ke aku tengah fikir apa?” Tergelak kecil Shasha dibuatnya apabila Nan mengepalkan tangan dan menunjukkan buku limanya.
            “Tengok muka kau yang semacam ni, kau fikir aku tak tahu? Dah dah dah! Jangan fikir yang bukan-bukan.” Geram hatinya apabila mendengar Shasha yang tergelak kecil itu. Huh!
            “Kalau kau tak nak aku fikir yang bukan-bukan, cuba kau beritahu aku apa yang kau buat semalam?”
            “Ini semua Arel punya pasal. Menyampah aku!”
            Berkerut dahi Shasha apabila mendengar nama Arel disebut tetapi hanya sesaat cuma. Perlahan-lahan bibirnya menguntumkan senyum memandang wajah Nan yang sudah bertukar masam.
            “Kali ni apa pulak yang dia dah buat dengan kau?” Sebaik saja air pesanannya sampai, gelas berisi jus oren dicapai. Baru saja bibirnya ingin menyentuh penyedut minuman itu, dia teringatkan sesuatu. “Oh, ya! Kau kalah dengan Arel dalam pertandingan memasak minggu lalu kan? Hah, apa dah jadi?”
            Nan merengus kasar apabila teringat tentang Arel. Peristiwa semalam membuatkan hatinya kembali sakit. Susah betul nak surut. Apa yang berlaku semalam membuatkan dia semakin tidak suka dan membenci Arel. Huh!
            “Hei, mengelamun pulak Puan Comel ni. Ceritalah apa yang dah jadi?”
            Tajam matanya memandang Shasha. Dijelingnya gadis yang bersolek bak artis itu. Tidak puas hati apabila Shasha menggelarnya Puan Comel. “Suka hati kau je panggil aku Puan Comel.”
            “Tak boleh panggil kau Puan Comel, eh? Hmm… special for Arel only?” Usik Shasha dengan sengihan di bibir.
            “Diamlah!” Sekali lagi dia menjeling Shasha yang seronok mengusiknya.
            “Okey… Okey! Hah, cepat beritahu aku apa berlaku sepanjang semingu aku tak ada di Malaysia ni?”
            “Aku jadi kuli.”
            “What?!!” Membulat mata sepet Shasha. Matanya memandang wajah Nan dengan riak tidak percaya. Sungguh dia terkejut. Nan jadi kuli?
            “Kenapa? Tak percaya?” Kening dijongket dengan wajah kosong. Jus epalnya dihirup sedikit sebelum melanjutkan bicara. “Itulah kebenarannya. Si Arel tu memang pembuli! Penjahat!”
            “Apa juga perjanjian kau orang berdua sebelum pertandingan memasak tu?” Membuak-buak rasa ingin tahu dalam hati Shasha.
            “Hmm… kalau aku menang, Arel akan jadi kuli aku selama seminggu. Kalau dia menang, aku akan jadi kuli dia dan…”
            “Dan?” Pangkas Shasha sebelum sempat Nan menghabiskan ayat.
            “Ish, kau ni! Sabarlah! Dan… dia akan jadi tukang masak untuk restoran aku.”
            “Hebat!” Spontan Shasha memberikan reaksi. Teruja dia apabila mendengar Arel akan menjadi tukang masak di restoran Nan.
            “Hebat? Apa yang hebatnya? Tak hebat langsung, okey!” Nan mendengus. Tidak puas hati apabila melihat reaksi teruja Shasha itu.
            “Eh, hebatlah! Cef terkemuka dunia tu, wei! Mesti lepas ni restoran kau bertambah banyak pelanggan. Ditambah lagi dengan wajahnya yang kacak. Wah! Makin banyak pesaing kau, Nan.”
            “Pesaing?” Berkerut dahi Nan. “Pesaing apa yang kau maksudkan ni?”
            “Banyak pesaing yang ingin memiliki suami kau yang kacak tu. Hah, Nan! Hati-hati ya.” Shasha tergelak apabila mata Nan terbuntang. Pantas saja dia melarikan tangannya daripada meja apabila tangan Nan sudah meliar ingin mencubitnya.
            “Kau nak makan penumbuk ke?” Eeee! Kurang asam punya kawan. Sempat lagi kenakan aku.
            “Tak betul ke apa yang aku cakap?”
            “Memang tak betul! Salah! Aku nak bersaing? Boleh jalanlah! Kalau dia nak kahwin dengan perempuan lain pun aku tak kisah la. Lagi aku suka. Aman sikit hidup aku lepas tu.” Sinis senyuman di bibir. Langsung tak tergugat dan langsung tak cemburu apabila Shasha mengatakan bahawa dia bakal ada pesaing.
            “Ya? Bukan hati kau makin parah ke? Makan hati berulam jantung melihat kemesraan Arel dengan perempuan lain? Bukan macam tu, Nan?” Semakin galak Shasha mengusik.
            “Shasha!” Nan mengetap kuat bibirnya. Bengang betul dia dengan Shasha. Tak boleh diharap! Dari tadi nak mengusik je. “Kau jangan nak buat aku bengang, Shasha. Aku dah bengang dengan Arel, jangan sampai aku buat kau jadi musuh nombor dua aku pula.”
            “Yalah… Yalah!” Shasha mengangkat kedua-dua tangannya seperti seorang pesalah.
            “Eh, Nan! Kau tak cerita lagi apa yang terjadi sepanjang kau jadi kuli Arel. Ceritalah,” gesa Shasha. Rasa ingin tahunya semakin meningkat tatkala wajah Nan yang sudah sedia masam menjadi semakin kelat dan pekat.
            “Malas nak cerita. Ingat pasal dia pun dah menyakitkan hati. Menyampah!” Hampir separuh jus epalnya diteguk rakus sebelum bibirnya melepaskan keluhan kasar.
            “Ala, ceritalah…”
            Shasha sudah mula merengek membuatkan Nan rimas dan akhirnya mangalah dengan permintaan Shasha itu.
            “Yalah! Aku cerita.”
            Badannya disandarkan pada kepala kerusi. Jari jemarinya bersulam sesama sendiri. Matanya tertumpu pada tangannya di atas meja.
            “Aku benci dengan Arel! Dasar pembuli. Dia ingat aku ni robot? Hei, aku manusia! Arel kejam! Arel jahat! Arel tak berperikemanusiaan! Arel menyampah! Arel menyebalkan! Arel menyakitkan hati! Mamat kerek! Eeee… benci!”
Semakin lama dia mengutuk Arel semakin geram hatinya. Merah padam wajahnya dek rasa amarah terhadap Arel. Memang sudah tidak boleh dibendung lagi. Kalau Arel itu punching bag, memang habis lunyai dia tumbuk untuk memuaskan hatinya.
“Apa dah jadi?” Shasha menumpukan sepenuh perhatian kepada Nan. Jus orennya juga sudah ditolak ke tepi. Namun terselit juga rasa lucu di dalam hatinya saat mendengar Nan memberikan gelaran yang pelbagai buat Arel.
‘Haih! Nasib kaulah, Arel. Tak pasal-pasal kau ada banyak gelaran daripada Nan.’
“Dia buat apa?” Nan tersenyum sinis sebelum menukar mimik muka. “Comel, cuci kereta aku! Comel, basuh pakaian aku! Comel, cuci kasut aku! Comel, masak untuk aku! Comel, kemas katil aku! Comel, Comel, Comel! Eeee! Hampir gila aku dibuatnya kau tahu tak?”
Terhambur ketawa Shasha yang ditahan sedari tadi. Sungguh dia geli hati mendengar cerita Nan itu. Dengan mimik muka yang cuba disamakan dengan Arel, sememangnya membuatkan dia mengalirkan air mata. Menangis kerana ketawa yang terlampau.
“Yang kau ketawa kenapa?” Nan menjadi semakin bengang. Melihat Shasha yang ketawa tak sudah membuatkan dia merengus kasar. Apa? Dia ada buat lawak ke?
“So… Sorry… Ta… Tapi…” Shasha masih lagi tergelak sakan. Putus-putus ayatnya apabila dia ingin berkata-kata.
“Tapi apa?” Nan memeluk tubuh seraya matanya mencerlung memandang Shasha yang tidak henti-henti ketawa.
“Tapi memang lawak!” Semakin kuat Shasha menghamburkan ketawa. Pandangan orang ramai yang turut berada di Secret Recipe itu langsung tidak diendahkan.
“Aku tak buat lawaklah, Shasha!” Bibir digigit kuat dan rahangnya bergerak menahan rasa. Semakin bergelegak amarahnya apabila Shasha mengesat air mata. Huh! Ketawa sampai menangis ni apa kes?
“Okey… Okey… Okey! Aku tak nak gelak lagi dah.” Shasha mempamerkan senyuman lebar tatkala ketawanya sudah surut. Tidak berani dia ingin terus ketawa apatah lagi wajah Nan yang sudah merah seperti udang terbakar. Uish! Bahaya tu.
“Lagi sekali kau gelak…” Tangan yang dikepal diangkat. “Ni nampak buku lima ni? Jangan menyesal kalau gigi kau patah semua.”
“Kuatnya!” Shasha tersengih apabila Nan menjelingnya tajam. Ugutan Nan itu hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Langsung tidak sampai ke otak. Ala, Nan takkan sampai hati ingin mencacatkan penampilannya.
“Kiranya kau kena buli cukup-cukup la ya?”
“Memang pun! Siap kenakan peraturan pulak tu. Huh!”
“Ada peraturan?” Terlopong mulut Shasha. Sungguh dia tidak pernah menyangka dengan itu semua.
“Comel, kau kena panggil aku Tuan Arel. Comel, kau tak boleh buat muka depan aku. Comel, kau kena senyum dan maniskan muka di depan aku. No fake smile! Comel, kau kena jawab segala arahan aku dengan ‘Ya, Tuan Arel’.” Nan mencebik.“Eeee… Mengada-ngada!”
Shasha hanya tersengih menayangkan gigi putihnya. Sungguh lucu apabila mendengar peraturan yang dikenakan.
“Kau tahu tak yang aku makin benci dengan Arel tu. Huh!”
“Nan… Nan…” Shasha menggelengkan kepala apabila mendengar Nan yang tidak sudah-sudah mengutuk Arel. “Kau jadi begini pun sebab salah kau jugak.”
Berkerut dahi Nan. “Salah aku pulak? Kenapa?”
“Siapa suruh kau tak kenal siapa suami kau yang sebenarnya. Kalau kau tahu dia siapa, mulut kau tu tak akan lancar nak berlagak dengan Arel.”
Bibirnya mencemik. Dia yang salah? Mana boleh seratus peratus kesalahan diletakkan di bahunya. Bukannya dia tidak pernah bertanya dengan Shasha dan suaminya sendiri siapa Arel yang sebenar tapi dia orang yang tak nak beritahu. Hah! Salah siapa tu.
“Lain kali, kenal la dulu lawan kau tu siapa. Kan dah kalah… Tak pasal-pasal kena buli, lepas tu sibuk nak merungut dan mengutuk Arel.”
“Kau ni kawan aku atau kawan Arel? Dari dulu lagi, kau ni sibuk sangat nak bela lelaki tu. Aku tak suka!” Nan memeluk tubuh tanda protes. Dia menjadi bengang apabila Shasha teman baiknya sedang membela Arel. Sejak Shasha mengenali Arel, selalu sangat sahabatnya itu menangkan Arel.
“Aik? Takkan cemburu cik kak oiii?” Shasha tersengih-sengih apabila melihat lagak Nan yang seolah-olah sedang merajuk.
“Sudahlah! Malas aku nak layan kau. Bukannya nak tenangkan aku, lagi nak siram minyak tu ada la.” Nan mendengus. Kecil hatinya apabila sahabat baiknya itu membela musuh ketatnya. “Sudahlah semalam Arel buat hal dengan aku. Ingatkan berjumpa dengan kau ni, boleh sejukkan hati aku tapi rupanya… Hmm, hampeh!”
Terangkat kening Shasha apabila mendengar nada suara Nan yang sedang berjauh hati. Tetapi sebenarnya dia ingin tahu apa yang telah Arel lakukan kepada Nan semalam.
“Apa yang di buat pada kau semalam?” soal Shasha tidak sabar. Jelingan Nan itu hanya dibalas dengan sengihan. “Aku tengok dahi kau macam ada lebam sikit. Kenapa tu?”
“Kau ni bukannya nak pujuk aku yang sedang kecil hati. Yang kau nak tahu sangat apa yang dibuat pada aku semalam tu kenapa?” Muncung mulut Nan tatkala Shasha tidak memujuknya. Huh… Kesiannya diri ini.
“Ala, nanti kau suruhlah suami kau tu pujuk. Aku nak tahu apa yang berlaku semalam sebab… sebab… sebab aku nak tahulah.” Shasha sudah tidak tahu ingin memberi alasan apa. Ala, dia nak tahu pun sebab dia memang penyibuk orangnya.
“Hmm…”

DENGAN langkah yang longlai, Nan berjalan masuk ke dalam bilik. Di mata dan fikirannya, hanya katil yang terbayang-bayang. Sungguh dia penat. Tubuhnya dihumban kasar ke atas katil. Mata yang sememangnya layu terus saja terpejam rapat tatkala tubuhnya sudah selesa beradu di atas tilam empuk.
            Sesaat… Dua saat… Tiga saat...
            “Comel!!!”
            Jeritan yang memanggil namanya kedengaran di setiap pelosok rumah. Dia yang baru saja ingin lena terganggu dan jelas Nan tidak suka dengan gangguan itu.
            “Ya Allah! Dia panggil lagi!”
Dengan rasa malas yang menguasai diri, Nan membungkus tubuhnya dengan gebar. Kepalanya turut ditutup. Dia tidak peduli jika dia akan sesak nafas tapi yang penting dia tidak ingin bangkit dari katil.
“Comel!!!” Sekali lagi Nan dipekik.
“Arghhh!!!” Nan menjerit disebalik bantal guling yang dipeluk. Ingin pecah kepalanya tatkala mendengar jeritan namanya itu. Lebih tepat lagi, dia tertekan sebab dia tahu siapa yang memanggil.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan pintu yang bertalu-talu yang diselang dengan pekikan namanya membuatkan Nan berang. Sungguh mustahil baginya untuk tidur dalam keadaan bising. Namun, sesaat kemudian, suasana kembali sunyi. Dengan mata yang terpejam, dahinya dikerut. Pelik kerana Arel yang dia kenal takkan mudah berputus asa. Tepat jangkaannya tatkala, gebar yang menyelubungi diri ditarik.
“Comel! Kau jangan nak pura-pura tidur. Aku tahu kau belum tidur lagi. Bangun!” Dengan kuat Arel menarik gebar Nan tetapi Nan turut memegang kuat gebar yang ditarik. Arel yang semakin geram menarik gebar tersebut lebih kuat sehingga akhirnya dia berjaya. Herot senyumannya tatkala melihat Nan yang memandangnya tajam.
“Apa lagi yang kau nak, Arel? Hari dah larut malam dan aku penat… Boleh tak kau bagi aku tidur? Tolonglah jangan buli aku lagi malam ni. Esok-esok je la.” Nan merayu sebelum mulutnya terbuka luas dek menguap.
“Tak boleh! Kau tak boleh tidur sebelum kau selesaikan kerja kau. Selagi kau tak selesaikan kerja kau, selagi itu aku tak beri kau rehat dan tidur.”
Arel bercekak pinggang memandang Nan yang enak memeluk bantal gulingnya. Kemudian, dia menarik tangan Nan agar gadis itu tidak terus baring. Kalau dibiarkan, pasti gadis itu akan terlelap. Tak pasal-pasal dia bercakap seorang diri nanti.
“Apa lagi yang tak selesai? Aku dah buat semua yang kau suruh, Arel.” Nan bersandar pada kepala katil dengan kaki yang melunjur tetapi matanya sudah terpejam. Hanya mulutnya yang berbicara walaupun kedengaran perlahan dan lemah. Memang mengantuk betul!
“Eh… Eh! Bangun dan buka mata tu. Comel… Bangun aku kata!” Arel mengetap bibir apabila Nan menghalaunya. Tangan Nan yang berbicara manakala tuannya sudah senyap.
“Oit! Bangun!” Arel sudah memekik dengan harapan nada suaranya mampu menyedarkan Nan tetapi hampa apabila Nan langsung tidak terkutik. Sudah senyap membisu.
“Comel… Baik kau bangun sebelum aku buat sesuatu yang akan buat kau menyesal.” Arel sudah tersenyum herot. Tampak nakal.
Apabila tidak menerima sebarang balasan daripada Nan, Arel mula bergerak mendekati Nan. Tubuh Nan dibaringkan dan bantal guling ditepi dilempar ke lantai.
Nan pulak sudah berasa lain semacam. Dia tahu dia sudah baring sepenuhnya di atas katil tetapi yang membuatkan dia pelik adalah apabila dia terasa nafasnya yang sesak. Tubuhnya juga terasa hangat dan wajahnya ditampar dengan deruan angin yang panas.
“Comel… Comel… Comel…”
Kali ini telinganya pula yang menangkap namanya digumam. Suara yang gemersik dan seolah-olah berbisik itu terasa begitu dekat.
“Comel… Comel… Comel…” Sekali lagi namanya disebut tetapi kali ini terasa hidungnya disentuh.
‘Eh, kejap! Macam pernah dengar je suara ni…’ getus hati Nan. ‘Oh my!’
Mata yang terpejam rapat terus dibuka. Saat matanya menangkap wajah Arel yang hanya dua inci dari wajahnya, matanya terbuka luas. “Arghhh!!!!!”
Serta merta Nan menjerit dan segera bangun daripada pembaringan. Nan berdiri di tepi katil memandang Arel dengan riak terkejut yang amat.
Arel pulak sudah pecah ketawa. Lawak sungguh wajah Nan yang terkejut tatkala melihat dia berbaring disebelah. Dia juga turut bangun dan bersandar pada kepala katil sambil mengekek ketawa yang tak henti-henti.
“Arel!!!” Kali ini nama Arel dijerit tatkala mamainya sudah hilang dan segalanya jelas pada fikirannya. Arel sengaja berbuat demikian untuk membuatkan dia bangun!
“Kau makin comel la kalau tekejut!” ujar Arel sebelum menyambung tawa. Wajah bengis Nan langsung tidak dapat mematikan ketawanya.
“Diamlah, Arel! Kau nak apa buat aku macam tu, hah?!” Keras nada suara yang dilontarkan Nan. Sungguh dia berang dengan Arel. Rasa mengantuknya juga sudah hilang entah kemana. Ini semua gara-gara Arel! Ugh!
Arel bangun dari katil dan berdiri di sisi katil. Senyuman masih lagi terukir di bibir tatkala memandang wajah Nan yang semakin merah.
“Itu cara yang terbaik untuk bangunkan kau. Kalau aku tak buat macam tu, kau tentu tak akan bangun kan? Amacam? Bijak tak cara aku?” Keningnya di angkat berkali-kali, sengaja ingin menyakat Nan walaupun malam sudah melabuhkan tirainya.
“Eeee!!! Bijak kepala otak kau! Eh, lain kali kalau nak bangunkan aku, bangunkan aku dengan baik-baik la!” Nan merengus kasar. Semakin geram dia dengan Arel apabila lelaki itu tidak putus-putus tersengih memandangnya.
“Aku bangunkan kau dengan cara yang baik tadi tapi kau langsung tak pedulikan aku. Jadi aku gunalah cara ini. See! Tak sampai seminit, kau dah pun bangun dengan sendirinya.” Arel tergelak kecil tatkala dia kembali teringat wajah terkejut Nan tadi.
“Diamlah!” Tajam mata Nan memandang wajah Arel. “Kau nak apa sebenarnya, hah?”
“Lipat dan kemas baju aku dekat bilik tu.”
Berkerut dahi Nan tatkala menerima arahan daripada Arel. “Bukan aku dah lipat ke tadi?”
“Sejak bila kau lipat? Kau tahu tak, bilik aku dah macam tongkang pecah sekarang ni. Merata-rata ada baju dan seluar aku. Kau main baling je ke baju aku tadi?” Mencerun mata Arel memandang wajah bingung Nan.
“Mana ada!” Sangkal Nan pantas. “Eh, aku dah lipat baju kau tadi. Lagi satu, bilik kau tu pun aku dah kemas. Kenapa pulak macam tongkang pecah?”
“Manalah aku tahu! Dah dah dah! Sekarang ni aku nak kau pergi bilik aku dan kemaskan semuanya. Selagi tak selesai, jangan harap kau boleh tidur.”
Nan mendengus seraya menjeling tajam Arel yang amat menyebalkan. Jika diikutkan hati, ingin saja dia lari dan tinggal di rumah keluarga Shasha. Kalau nak lari balik rumah ibu di kampung pulak tak boleh. Nanti ibu syak yang bukan-bukan pulak. Ugh! Hampir gila dia dibuat Arel selama seminggu menjadi kuli suaminya itu. Huh! Nasib baik hari ini merupakan hari yang terakhir, jadi dia tahankan saja.
Terbuntang mata Nan tatkala dia tiba di depan bilik Arel. Jatuh rahangnya tatkala melihat bilik Arel yang sepertinya baru dilanda tsunami yang dahsyat. Pintu almari terbuka dan segala baju dan seluar lelaki itu berhamburan di lantai bilik. Bantal-bantal juga semuanya di atas lantai.
Nan menoleh ke arah Arel yang berdiri di sisinya. Mencerun matanya melihat wajah tidak bersalah Arel itu. “Kau yang sepahkan bilik kau sendiri kan?
“Aku? Buat apa pulak aku nak sepahkan bilik aku sendiri? Nonsense!” Tegang wajahnya tatkala dituduh oleh Nan sedemikian rupanya. Dengan langkah yang panjang, dia bergerak ke katilnya. Badan disandarkan pada kepala katil dan kaki dilunjurkan.
Nan merengus sebelum tangannya mengutip bantal dan diletakkan di atas katil. Kemudian, tangannya mula sibuk mengutip pakaian Arel satu persatu. Arel yang sedang membaca majalah di atas katil sudah tidak dipedulikan. Apa yang dia tahu, dia ingin segera menghabiskan kerjanya dan mengangkat kaki ke biliknya.
Mata Arel tunak memandang Nan yang sibuk ke hulu dan ke hilir. Sekejap menggantung baju di dalam almari dan sekejap melipat pakaiannya. Sebenarnya, keadaan bilik yang bersepah itu memang dia yang bertanggungjawab. Memang dia sengaja menghuru-harakan biliknya sendiri.
Sebenarnya ini merupakan rancangannya disaat akhir. Tatkala melihat Nan berlalu ke bilik tidur, tiba-tiba idea nakalnya ingin menyuruh Nan mengemas biliknya. Entah mengapa tapi perasaan untuk melihat Nan dengan lebih lama membuatkan idea ini muncul.
“Menyampah! Guna cara kotor untuk bangunkan aku!”
Arel tersenyum tatkala mendengar omelan Nan. Dia hanya diam tidak membalas tetapi fikirannya sudah menerewang tentang kejadian di bilik Nan sebentar tadi. Sebenarnya, naluri lelakinya bergelora tatkala dia memeluk tubuh hangat Nan. Dia tahu jika Nan betul-betul tidur mati tadi, sudah tentu dia akan hanyut melayan kehendaknya yang satu itu.
“Benci! Eeee… Menyakitkan hati!” omel Nan lagi tanpa menyedari bahawa omelannya itu didengari Arel.
            Mata galak Arel berterusan memerhatikan Nan. Segala gerak-geri Nan diekorinya. Langusung tidak terlepas walau sesaat pun. Cuma sesekali ketika Nan melirik ke arahnya, dia akan berpura-pura membaca majalah kereta di tangannya dan seolah-olah tidak mempedulikan Nan.
            Beberapa minit kemudian, bilik yang macam tongkang pecah itu selesai dikemas oleh Nan. Tiada lagi pakaian dan bantal yang berselerak di atas lantai. Nan yang memerhatikan sekeliling bilik Arel yang sudah tersusun kemas tersenyum puas hati. Akhirnya dia sudah boleh tidur. Alhamdulillah!
            “Yang kau tersenyum sorang-sorang kat sana kenapa?” tegur Arel.
            Serta merta senyuman di pinggir bibir Nan mati. Wajah Arel direnung dalam sebelum jelingan tajam dihadiahkan kepada lelaki itu.
            Tiba-tiba majalah yang dipegang Arel jatuh ke lantai. Arel memandang wajah Nan. Nan turut merenung wajah Arel. Arel menjongketkan sebelah kening. Nan pulak mengerutkan dahi. Arel mendengus geram. Nan pulak mengangkat bahu.
            “Yang kau tercegat lagi kat situ kenapa? Ambilkan majalah aku.” Arah Arel sambil berpeluk tubuh.
            Buntang mata Nan memandang wajah Arel dengan riak tidak percaya. Dia suruh aku ambil majalah tu untuk dia? Eh, sekali dia tunduk, majalah tu dah boleh dicapailah. Kenapa pulak nak suruh aku yang jauh tiga meter dari katil ni yang ambil? Ugh!
            Nan langsung tidak berganjak. Hanya matanya yang tajam membalas panahan mata Arel. Tangannya turut disilangkan ke dada yang memandang Arel dengan lagak tidak puas hati.
            “Kenapa pulak nak aku yang ambil?”
            “Sebab aku yang suruh,” balas Arel tenang.
            “Eeee… aku tak nak! Kau la yang ambil. Eh, majalah tu ada kat tepi katil kau je la jadi kau sendiri la yang ambil.” Nan mendengus tidak puas hati. Mengada-ngada! Macam la dia tu anak raja. Arahkan aku macam dayang-dayang kat istana dia. Hello, cik abang! Ini bukan istana kau, ini rumah aku, okey!
            “Ambil je la. Yang kau susah sangat nak ikut arahan aku kenapa?”
            Nan merengus kasar sebelum melangkah ke arah Arel tanpa rela. Badannya dibongkokkan lalu majalah yang terdampar dia atas lantai tepi katil Arel itu dicapai. Setelah tubuhnya diluruskan, majalah di tangan dihulurkan kepada Arel yang memandang kosong ke arahnya. Tidak seperti wajahnya yang kelat semacam.
            “Kau nak ambil ke tak majalah ni?” Nan mengetap bibir. Semakin geram dia dengan Arel apabila lelaki itu memandang sejenak majalah ditangannya tanpa ada niat untuk menyambut.
            “Begitu ke cara seorang kuli bercakap dengan tuannya? Sebelum ni okey je kau patuh dengan peraturan, sekarang tiba-tiba nak berkasar kenapa? Period?”
            Merah membahang wajah Nan. Eeee! Mahu saja dia hempuk lelaki dihadapannya itu. Dengan majalah pun jadilah. Ugh!
            “Eh, syarat tu dah tamatlah. Sekarang aku bukan lagi kuli kau jadi tak ada maknanya aku patuh dengan peraturan mengarut kau tu.”
            “Ya? Kenapa pulak?” Berlapis dahi Arel memikirkan alasan Nan berkata sedemikian.
            “Oit! Sekarang ni sudah pukul satu pagi la.” Dengan kasar Nan meletakkan majalah Arel di tepi lelaki itu. Dia sudah malas ingin berlama di situ. Matanya sudah semakin berat dan kepalanya juga sudah semakin pening. Kalau dia kurang tidur nanti, takut dia akan demam pula nanti.
            Nan menoleh dan baru setapak kakinya melangkah, tangannya direntap membuatkan Nan jatuh ke katil dan terbaring di sisi Arel. Nan tersentak dan dia semakin kaget tatkala lelaki itu dengan selamba memeluknya. Tercungap-cungap dia dibuatnya.  Atur nafasnya juga tidak sekata.
            “It is so rude to walk away without saying good night. Betul tak?” Arel semakin mengemaskan pelukan. Bibirnya tersenyum herot penuh menggoda. Matanya juga diredupkan merenung ke dasar anak mata Nan. Dengan jarak wajah yang terlalu dekat, dia dapat melihat dengan jelas helaian bulu mata lebat Nan.
            “Kau… Kau…” Nan menjadi gugup.
Tangannya berlabuh pada dada bidang Arel. Tubuh lelaki itu ditolak tetapi Arel semakin mengetatkan pelukan membuatkan dia semakin lemas. Lemas dengan pelukan kejap Arel dan lemas dengan panahan mata Arel yang menusuk hingga ke dasar hati. Tangkai hatinya mula terusik dan perasaannya juga sudah tudak menentu. Dia tidak tahu sama ada ingin memarahi Arel atau biarkan saja dengan perlakuan Arel itu.
“Hmm…kau tahu tak yang kau ni memang comel? But… I love your round sparkling eyes the most. I’m  being honest,” ujar Arel dengan gemersik suaranya yang mampu mencairkan hati setiap wanita yang mendengar. Tidak walau sesaat pun matanya dikerdip. Dia sudah begitu asyik dan hanyut memanah anak mata Nan.
Gulp! Nan menelan air liur yang seakan-akan tersekat di kerongkongnya. Mendengar nada suara Arel yang seakan berbisik itu sudah cukup membuatkan dia berhenti bernafas. Seakan tidak cukup oksigen untuk dia hirup. Dia ingin melawan tetapi entah kenapa matanya begitu degil untuk terus membalas renungan Arel yang menusuk kalbu itu.
“Nak tahu sesuatu tak?” Sebelah tangan Arel mengelus lembut pipi Nan sebelum tangan kasar itu menyentuh lembut bibir comelnya. Terbit senyuman di hujung bibir tatkala terasa gigilan pada bibir yang merekah merah itu.
Nan sudah terkelu lidah. Tiada satu patah perkataan pun yang mampu diluahkan saat ini. Saat pipinya dibelai dan bibirnya disentuh, dia dapat rasakan jantungnya semakin laju berdegup. Irama jantung yang berdetak pada dadanya sudah tidak menentu, diganti dengan irama yang tidak dapat dikenal pasti. Mungkin irama yang mengalunkan melodi indah. Tetapi kenapa? Kenapa ini yang dia rasa?
“You are shaking. Takut dengan aku ke? Atau… takut jatuh cinta dengan aku? Hmm?” Kali ini Arel tersenyum nakal. Matanya dikenyitkan pada Nan.
Nan pula sudah tersentak. Tiba-tiba akalnya kembali waras. Mendengar bicara Arel yang kerek dan senyuman yang nakal itu, serta merta dia berpijak di dunia realiti. Wajahnya yang pucat serta merta bertukar merah.
“Arel!!! Lepaskan aku!”
Serta merta Arel melepaskan Nan. Berkerut dahinya kala suara nyaring Nan mencecah pendengarannya. Berrdengung kepalanya dan hampir pecah gegendang telinganya dengan jeritan Nan itu. Fuh! Dahsyat!
“Tak guna kau Arel! Eeee! Benci benci benci!!!” Besar langkah yang dibuka Nan. Langkah kakinya diangkat meninggalkan Arel sambil mulutnya terkumat-kamit memarahi Arel. Ugh! Sungguh Arel menyakitkan hati!
“Nan! Tikus kat kaki kau!” Cemas suara Arel.
“Arghhh!!!”
Wajahnya yang berkerut terus bertukar cuak. Makhluk tuhan yang disebut Arel itu berjaya menghalau perasaan amarahnya kepada Arel dalam sekelip mata. Tanpa diduga, Nan berlari ke arah Arel dan melompat ke atas katil. Dengan spontan dia memeluk tubuh Arel sambil menyembamkan wajahnya pada dada Arel.
“Halau! Halau binatang tu! Arel, halau binatang tu!” Tangan Nan semakin kuat memeluk Arel. “Ibu… Nan takut!”
Arel sudah terpinga-pinga. Dia tidak pernah menjangkakan reaksi Nan. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya Nan akan berlari ke arahnya dan memeluknya erat apatah lagi menyebamkan muka pada dadanya.
Arel yang pada mulanya terpinga-pinga tersenyum. Bahunya terhinjut-hinjut menahan ketawa tetapi hanya sesaat dua. Tawa yang tidak dapat ditahan akhirnya terhambur juga. Perlakuan Nan itu betul-betul menggeletek hatinya. Sungguh lawak!
Nan pantas mengangkat kepala dan tatkala melihat Arel ketawa terbahak-bahak, wajahnya kembali berubah merah. Nan bingkas bangun dan berdiri di tepi katil sambil memerhatikan sekeliling kamar Arel. Tiada tikus. Arel tipu!
“Kau!” Nan menuding jari tepat ke arah wajah Arel. Bergerak rahangnya menahan amarah pada Arel. Ugh! Tak guna kau Arel!
“Lawak! Tahniah sebab kau layak masuk pertandingan Raja Lawak!” Arel kembali menyambung gelak. Senak perutnya kerana terlampau ketawa.
“Diamlah!!!” Jerit Nan dengan wajah yang merah padam. Matanya yang bulat semakin bulat memandang wajah Arel. Tajam pandangannya bagaikan helang yang hendak menerkam mangsanya.
Jeritan Nan membuatkan tawa Arel mati dengan serta merta. Tangannya yang menekan perut beralih pulak menekup kedua-dua telinganya. Sekali lagi, kepalanya berdegung. Jeritan suara Nan yang nyaring bakal merosakkan pendengarannya. Lebih baik dia berhenti ketawa walaupun hatinya masih lagi digeletek kelucuan.
“Kau dengar sini, Arel. Hari ni hari kau, esok-esok pulak hari aku.” Keras nada suara Nan memberi amaran.
Tanpa berlengah lagi, Nan membuka langkah sambil menghentakkan kaki tanda protes. Semakin lama dia di dalam bilik dengan Arel semakin gila dia dibuatnya. Silap-silap, dia akan dimasukkan ke dalam Tanjung Rambutan kalau Arel terus-terusan membulinya. Arghhh! Stres!
            “Eh, Nan. Ada lipas.”
            Nan menjulingkan mata ke atas. Tanpa menghentikan langkah dia membalas. “Kali ini aku tak akan tertipu dengan kau. Kau fikir aku badut ke nak bodohkan diri aku sendiri buat kali kedua?”
            “Tapi…”
            Belum sempat Arel menghabiskan kata, Nan terlebih dahulu mencantas. “Diamlah, Arel!”
            Lagi dua langkah dia akan keluar daripada kamar Arel yang bagaikan neraka baginya. Namun tiba-tiba dia terasa ada sesuatu yang menjalar pada kakinya. Pantas Nan memandang ke bawah dan tatkala makhluk yang berwarna coklat itu menyapa matanya, mata Nan membulat.
            “Lipas!!!” Nan menjerit sekuat hati sambil melompat-lompat. Berharap agar lipas yang merayap pada kakinya jatuh ke atas lantai. Namun, ketakutan Nan tidak berkurang malah dia semakin kecut perut tatkala lipas itu seakan-akan berjalan ke arahnya. Tanpa berlengah dan sepantas kilat Nan menoleh dan berlari ingin meninggalkan bilik Arel. Tetapi…
            Buk!
            “Aduh!”
            Arel yang sedari tadi ketawa sakan terpinga-pinga. Berkelip-kelip matanya saat mendengar bunyi kuat tadi. Buat seketika, mulutnya melopong memandang tubuh Nan yang masih lagi berdiri di pintu biliknya.
            “Sakitnya…” Nan mengaduh kesakitan sambil mengusap dahinya yang terlanggar pintu tadi. Semakin berpinar-pinar kepalanya. Dia sudah dapat melihat bintang-bintang yang mengelilingi sekitar kepalanya kini.
            “Kau…” Hanya sepatah saja mampu terluah sebelum Arel memuntahkan ketawa. Sekali lagi perbuatan Nan menggeletek hatinya. Kali ini ketawa Arel lebih kuat daripada tadi. Sampaikan terguling-guling Arel di atas katil. Mutiara jernih juga sudah bergenang di tubir mata.
            Tak guna punya pintu! Boleh benjol kepala aku. Marah Nan kepada pintu bilik Arel. Dia yang ingin melarikan diri daripada lipas tadi akhirnya terlanggar dengan pintu bilik yang tertutup rapat . Tak pasal-pasal dahinya mencium pintu kayu bilik Arel itu. Wah! Sakit gila!
            Wajah Nan semakin merah dan membahang. Marah dan malu sudah menguasai dirinya. Marah sebab sakit hati dengan Arel yang masih belum puas mengetawakannya. Macam orang gila! Malu pulak sebab kecuaian diri. Bukan kecuaian diri tapi lebih kepada kebodohan diri. Dah tahu pintu bilik tu tertutup rapat, lagi nak langgar kenapa. Itu semua kau punya pasallah lipas! Haih, salah sendiri tapi lipas pulak yang dimarah.
            Dengan rasa bengang dan malu yang menggunung, Nan membuka pintu bilik dan terus keluar. Wajahnya langsung tidak ditoleh memandang Arel apatah lagi ingin menjeling. Mengerling sekilas pun sudah tidak mampu. Malu!
            Bang!!!
            Hempasan pintu bilik Nan yang kuat membuatkan Arel semakin galak ketawa. Pintu biliknya yang terbuka luas membuatkan dia dapat melihat pintu bilik Nan yang tertutup rapat itu dengan jelas.
            “Haih! Comel… Comel… So adorable!”

PINTU rumah ditutup dan dikunci. Sebaik saja tubuhnya dipalingkan, kelihatan Arel yang sedang menuruni tangga. Senyuman yang dilemparkan Arel kepadanya dibalas dengan jelingan. Tak ada maknanya dia nak balas senyuman Arel itu. Hatinya masih lagi bengkak tentang kejadian semalam.
            Huh! Masih lagi dia ingat betapa galaknya Shasha mengetawakannya tadi sebaik saja dia menceritakan apa yang terjadi antara dia dengan Arel semalam. Bengang! Shasha pun ketawakan dia. Ugh! Macam mana bengkak di hati hendak surut kalau macam tu? Makin bertambah-tambah tu ada la.
            “Mengelamun ke?” Arel menegur sebaik saja kakinya mencecah anak tangga yang paling bawah.
            Nan langsung tidak membalas malah sekali lagi dia menjeling Arel. Haish! Boleh juling dia kalau selalu sangat menjeling orang. Hmm…
            “Kau beli apa tu?” Arel cuba mengintai kandungan plastik putih yang berada di tangan Nan. Namun, dia tidak berkesempatan untuk melakukan demikian apabila Nan dengan selamba berlalu ke dapur.
            Sibuk! Nak tahu aku beli apa tu kenapa? Huh! Semakin geram hati Nan tatkala Arel di belakang membuntuti. Ni kenapa nak ikut aku? Tak ada kerja lain ke? Ugh! Marah Nan dalam hati. Bibirnya pulak sudah terkunci rapat.
            “Wah! Blueberry Cheese Cake… my favourite!” Teruja Arel tatkala melihat sepotong kek itu dikeluarkan daripada plastik putih dan diletakkan di atas meja.
            Arel menarik kerusi dan duduk di meja makan. Matanya hanya memerhatikan tingkah Nan yang mengambil piring kecil daripada kabinet sebelum kembali melangkah ke meja makan. Kek yang berada di dalam kotak kecil itu dikeluarkan dan dihidangkan di atas piring. Kemudian, Nan mengambil garfu kecil dan diletakkan sekali di atas piring, tepi kek tersebut.
            Setelah segalanya tersedia, Arel menegakkan badan dan menggosokkan kedua-dua belah tapak tangannya. Kecur liurnya tatkala melihat kek yang lazat itu terhidang di depan mata. Kelibat Nan yang baru saja menarik kerusi untuk dilabuhkan duduk sudah tidak dihiraukan. Pantas tangannya mencapai kek tersebut tetapi belum sempat dia tarik piring itu mendekatinya, tangan Nan terlebih dahulu memukul tangannya menyebabkan Arel melarikan tangan.
            Tajam mata Nan memandang wajah Arel yang tidak puas hati itu. Apa? Ek eleh! Ada hati nak bantai kek aku. Kalau nak makan, pergi beli sendiri. Huh! Luah Nan di dalam hati.
            “Kedekut!” Arel memeluk tubuh sambil memandang Nan dengan wajah yang jelas kelat dan cemberut. Tidak kesampaian niatnya untuk memakan kek kegemarannya itu. Huh! Comel kejam!
            “Haji Bakhil!” Kutuk Arel lagi. “Eh, bukan… Puan Bakhil!
            Nan langsung tidak mengendahkan Arel. Macam budak-budak. Pedulilah kau nak cakap apa, aku tak kisah.
            “Eleh! Aku pun boleh belilah.” Arel berlagak sambil menjeling Nan yang sudah mula memotong secubit kek itu.
            Terangkat tinggi sebelah kening Nan tatkala mendengar kata-kata Arel itu. Senyum sinis terbit di bibir sebelum bahunya dijongketkan. Dengan perlahan-lahan, secubit kek dimasukkan ke dalam mulut. Matanya dipejamkan seakan-akan menikmati kek yang dimakan. Seolah-olah makanan yang dimakan itu lazat benar. Heaven!
            Arel yang melihat lagak Nan itu hanya mampu menelan liur. Blueberry Cheese Cake, kegemaran aku… Rintih Arel di dalam hati. Dengan serta-merta Arel mengalihkan pandang. Helaan nafas dihembus kasar. Comel ni kan! Ugh! Sengaja nak buat aku terliur. Haish! Makin geram aku dengan perempuan ni!
            “Tak payahlah nak makan macam tu. Aku tahu kau sengaja nak buat aku terliur kan?” Bibirnya diketap kuat. Cuba menahan perasaan dan geram yang berbuku di hati.
            Nan langsung tidak membalas. Matanya tunak merenung kek yang tinggal setengah lagi untuk dijamah. Walaupun matanya bukan pada wajah Arel, daripada suara lelaki itu saja dia sudah tahu Arel tengah geram dengannya. Ala, dia memang sengaja pun.
            “Yang kau dari tadi bisu kenapa? Suara kau dah lari ke?” Arel semakin geram tatkala dia dibiarkan bercakap seorang diri. Dirinya ditunggulkan oleh Nan. Huh! Entah apa angin si Comel ni.
            Nan masih lagi diam membisu. Dia tahu Arel cuba untuk menyakitkan hatinya agar dia membuka mulut untuk membalas. Hello brother, tak jalanlah! Memang dia sengaja diam tidak membalas. Dia ingin mogok suara!
            “Lepas ni masakkan aku tom yam seafood. Hari tu aku dah ajar kan? Hari tu banyak yang kurang jadi hari ni perbaiki skill memasak kau tu.” Arel berterusan memberikan arahan sambil matanya tidak lepas dari memandang wajah Nan.
            “Comel! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Bergerak rahang Arel menahan rasa. Amarahnya semakin membuak-buak apabila Nan tetap membisu. Mulutnya hanya terbuka tatkala menyuap makanan. Mulut itu tidak terbuka untuk mengeluarkan suara. Huh! Kenapa pulak dengan Comel ni?
            “Kau ni kenapa? Eh, jangan nak anggap aku macam tunggul boleh tak?” Kesabarannya semakin menipis. Tercalar egonya sebagai seorang lelaki dan sebagai seorang suami tatkala Nan tidak menghiraukannya.
            Nan mendengus seraya memandang tajam ke arah Arel. Wajah lelaki itu sudah pun berubah warna. Mata redup itu mencerun memandangnya.
            “Kau dengar tak apa yang aku cakap tadi? Aku suruh kau masakkan aku tom yam seafood. Sekarang!”
            Nan menjeling Arel sebelum berdiri daripada duduk. Piring yang sudah kosong dan licin itu dibawa ke singki dan di cuci.
            Masakkan tom yam seafood? Apa kejadahnya nak makan tom yam seafood tengah hari buta ni. Huh! Nak aku masakkan untuk kau pulak tu. Jangan haraplah! Kau fikir aku ni masih kuli kau ke. Huh! Rungut Nan di dalam hati. Dingin wajahnya tidak menggambarkan hangat hatinya yang tengah membara.
            “Comel!!!” Arel memekik sambil merentap tangan Nan yang ingin berlalu meninggalkan dapur.
            Dia juga sudah berdiri dan kini sedang bertentang mata dengan Nan yang jelas tengah bengang dengannya. Hei, dia pun tengah bengang dengan Nan. Tegang wajahnya kala ini apabila permintaannya itu hanya dipandang sepi. Sungguh tercalar ego lelakinya. Rontaan Nan juga tidak dipedulikan. Malah cengkaman tangannya semakin kejap.
            Aduh, sakitlah mamat kerek! Sakit pergelengan tangan Nan apabila Arel mencengkam kejap dan kuat. Habis berbiratlah tangan aku nanti. Haish! Apa masalah lelaki ni? Kalau aku tak nak tu janganlah nak paksa. Dia yang cef, masaklah untuk diri sendiri. Suka betul nak arah-arah aku! Ugh!
            “Selagi kau tak tunaikan permintaan aku, jangan harap aku akan lepaskan kau.” Dia tahu dia seorang cef dan dia mampu untuk masak makanan itu sendiri tapi egonya harus dipertahankan. Dia Tengku Putera Shayarel Amer! Tidak pernah permintaannya tidak ditunaikan. Huh!
            Anak manja! Nan mendengus sambil menjulingkan mata ke atas. “Aaaaa…”
            Berkerut dahi Arel apabila Nan membuka mulut seolah-olah ingin memberi isyarat agar dia turut membuka mulut.
            “Eh, ka…” Belum sempat dia habis melontarkan ayat, Nan terlebih dahulu pantas menyumbat sesuatu ke dalam mulut.
            Spontan pegangan tangan Arel longgar dan Nan mengambil kesempatan itu untuk merentap tangannya dan terus berlari meninggalkan dapur. Sambil menaiki tangga ke tingkat atas, Nan mengekek ketawa tatkala mengingatkan sesuatu yang disumbat ke dalam mulut Arel tadi.
            Terjegil mata Arel saat Nan menyumbatkan sesuatu yang pahit dan pedas ke dalam mulut. Dengan pantas dia mengeluarkan barang yang disumbat itu dan berlari ke arah singki. Pili air dibuka dan air ditadahkan dengan tangan. Berkali-kali mulutnya dikumur, ingin membuang rasa pahit dan pedas tadi.
            “Tak guna kau, Comel! Kau sumbat halia dalam mulut aku!”

USAI saja Arel mengerjakan solat Isyak, sejadah diletak pada ampaian dan songkok diletakkan di atas meja. Badannya dilentangkan di atas katil. Kedua-dua tangannya diletakkan di atas perut. Mata pulak dipejam rapat. Baru saja Arel ingin tidur, telefon bimbitnya berbunyi. Dengan rasa malas, telefonnya yang berada di atas meja tepi katil itu dicapai.
            “Hmm, helo?” Tubuhnya kembali dibaringkan.
            “Yo, bro!”
            Suara yang menyapanya membuatkan Arel membuka mata dan menyungging senyuman. Sudah lama benar suara itu tidak didengari.
            “Safuan! Hei, lama kau tak call aku.”
            “Aku busy la, bro. Anyway, how’s your life?”
            “Hmm, okey la kut,” jawab Arel dengan tidak bersemangat.
            “Kenapa lemah sangat suara kau ni?” Safuan di sana sudah tersengih-sengih. Hampir seminggu dia tidak menelefon Arel untuk bertanya khabar.
            “Entahlah, Saf. Aku happy dapat buli dia tapi kalau dia dah balas balik, hmm…” Arel bangkit dari katil dan menuju ke jendela bilik. Jendela dibuka luas dan pandangannya ditebarkan pada langit.
            “Hmm? Kalau dia dah balas balik, kau pulak yang sakit hati? Eh, kira adil la tu. Kau sakitkan hati dia, dia sakitkan hati kau. Wah! Sehati sejiwa!” Safuan tergelak kecil apabila memikirkan wajah Arel yang sudah tentu cemberut mendengar usikannya.
            Benar telahan Arel kerana wajahnya kini jelas kelat. Dia langsung tidak senang dengan usikan Safuan itu tetapi hanya sebentar sebentur wajah mengendur. Tanpa sedar keluhan terlepas dari bibir.
            “Aik, mengeluh? Kau ni kenapa yang sebenarnya?” Safuan menghentikan gelak. Mendengar keluhan Arel itu, dia tahu kawan merangkap saudara angkatnya itu dilanda masalah.
            “Tak ada apa la. Hmm, kau kata kau nak datang Malaysia. Bila?” Arel segera menukar topik. Dia masih ragu-ragu untuk meluahkan apa yang bermain di fikirannya.
            “Kau ni tengah tukar topik kan? Eleh… Macam aku tak tahu.”
            Arel tergelak kecil apabila telahan Safuan itu tepat lagi betul.
            “Hei, teka bila aku akan datang Malaysia.” Intonasi suara Safuan sudah berubah. Nada suara Safuan kedengaran teruja dan gembira.
            Arel menjongket kening. Buat seketika dia berfikir tetapi mengalah juga akhirnya. Dia ni bukannya pandai sangat meneka. “Kau beritahu je la. Aku malas nak teka. Hah, bila?”
            Safuan mencemik apabila Arel tidak ingin meneka. “Kau ni! Yalah aku beritahu. Esok aku akan ambil flight pagi. Flight pertama.”
            Mata Arel terjegil. Terkejut dengan perkhabaran Safuan itu. Daripada membongkok, tubuhnya menegak. “Kau serius? Saf… Kau jangan nak main-mainkan aku.”
            “Tak ada masa aku nak main-mainkan kau, Ku Putera oiii. Aku cakap yang betul ni.”
            “Ish! Jangan panggil aku Ku Putera la.” Masam wajah Arel. Dia tidak suka sesiapa pun memanggilnya Ku Putera. Dia pernah memberikan arahan yang sama kepada David tetapi lelaki itu keras kepala. Ikut sangat cakap nenda. Kalau nenda, memang dia nak suruh semua orang panggil aku Ku Putera.
            “Ops! Sorry…” Safuan tergelak kecil. Dia sengaja menyakat Arel dengan menggunakan gelaran lelaki itu. Dia tahu Arel tidak suka.
            “Eh, are you serious? Esok?” Lebar senyuman yang tersungging di pinggir bibir Arel. Gembira bukan kepalang apabila Safuan akan ke Malaysia esok.
            “Ya! Ish, kalau kau tak nak percaya sudah.” Geram Safuan dibuatnya apabila Arel begitu sukar untuk percaya. Haish, berapa kali nak ulang cakap?
            “Percaya! Sudah tentu aku percaya!” Luah Arel ceria. “Wah! Tak sabarnya nak jumpa kau.”
            Safuan dan Arel tergelak kecil. Masing-masing sudah tidak sabar untuk bertemu. Banyak perkara yang ingin dikongsi.
            “Oh, ya! Nenda tahu tak?” Arel menjadi bimbang.
            “Jangan risaulah. Aku beritahu nenda yang aku Malaysia sebab nak lawat keluarga aku. Tapikan aku rasa nenda memang tahu yang aku akan jumpa kau. Nenda kau tu cerdik orangnya. Segala yang berlaku dia tahu.”
            “Kau biar betul?” Arel semakin gusar.
            “Tak payah nak gelabah sangatlah. Nenda tak akan suruh bodyguard dia tangkap kau. Nenda kan bagi kau masa setahun. Ini baru seminggu lebih, tak ada maknanya dia nak tangkap kau awal-awal. Nenda belum rindu kau lagi.”
            Arel melepaskan keluhan lega. Syukur kerana nenda memegang janji agar memberi dia masa. Buat seketika masing-masing diam tidak berbicara. Safuan menanti balasan kata daripada Arel. Arel pula sudah menerewang jauh memikirkan perkara yang mengusutkan mindanya sedari tadi.
            “Helo? Aku masih ada kat sini lagi la.”
            Pantas Arel tersedar. Langsung lupa dengan Safuan yang masih lagi ada di talian.
            “Saf…” Sekali lagi keluhan berat terlepas.
            “Kau ni kenapa? Dari tadi lagi mengeluh je. Kau tahu tak mengeluh ni tak bagus. Kalau kau tak nak aku beri tazkirah yang panjang tentang tak baiknya mengeluh, baik kau cerita dengan aku apa yang ada dalam kepala otak kau sekarang.” Safuan menggigit bibir. Geram apabila Arel seolah-olah ingin merahsiakan sesuatu daripadanya.
            “Benda yang aku nak beritahu ni bukannya rahsia pun, Safuan. Selama ni segala rahsia aku ada dalam kocek kau jadi jangan risau.” Tebak Arel.
            “Oh, ya?” Safuan tersengih. “Jadi kenapa mengeluh?”
            “Hmm…” Arel berjeda seketika. “I need you, Saf.”
            Berkerut dahi Safuan. “Why?”
            “I need you to do me a favour.”
            Safuan sudah semakin tidak keruan. “Bantuan? Now what?”
            Arel tersenyum mendengar soalan dan nada suara yang digunakan Safuan. Dia tahu Safuan sudah dapat menjangkakan sesuatu.
            Safuan sudah panas punggung. Daripada duduk, dia turut berdiri. Biasanya kalau Arel minta bantuan tentunya sesuatu yang besar. Tengok saja permintaan Arel untuk membantu lelaki itu melarikan diri dari Korea. Hal besar tu! Sekarang ni apa pulak?
            “Kau pernah tanya kalau-kalau aku ada plan lain selain lari dari Korea dan kahwin dengan, Comel kan? Ya, aku mengaku aku ada plan lain lagi.”
            Safuan menumpukan sepenuh perhatian dengan apa yang dikatakan Arel. Tepat seperti yang dia fikir. Arel punya plan lain. Haish! Nak libatkan aku lagi ke?
            “Yes, Safuan! Kau turut terlibat.” Ujar Arel seakan-akan dapat mendengar apa yang bermain di minda Safuan kala itu.
            Safuan menggaru kepalanya yang tidak terasa gatal. Haih! Arel ni tahu-tahu je aku tengah fikir apa. “Okeylah! Kau nak minta tolong apa sebenarnya.”
            “Hmm… we will talk about this tomorrow. Esok jangan dulu kau pulang ke rumah keluarga kau. Kita bermalam dekat hotel.”
            “Haish, kau ni. Yalah! Besar sangat ke plan kau ni sampai kena bermalam kat hotel.”
            “Well… Berjaya atau tidak plan ini akan mempengaruhi hidup aku dengan Comel. Akan mempengaruhi Romeo’s Restaurant. Akan mempengaruhi…”
            “Okey, cukup cukup cukup! Pendek kata plan kau ni seperti… seperti akan tentukan hidup mati seseorang. Lebih kurang macam tu la kan?”
            Arel tergelak besar apabila Safuan memberikan perumpaan yang hiperbola. “Yep! Lebih kurang macam tu la.”
            Safuan sudah pening kepala. Adoi! Plan si Arel ni memang tak pernah tak susahkan orang. “Aku nak tanya satu benda boleh tak?”
            “Apa dia?”
            “Boleh tak kau bagi aku hint sikit tentang plan kau ni nanti.”
            Arel menguntumkam senyuman di hujung bibir. Telefon yang pada mulanya melekap pada telinga kanan di alihkan pula ke kiri.
            “Plan kita kali ini…”
            “Plan kau bukan aku!” Tegas Safuan. Ada ke patut plan kita? Bukan aku yang rancang pun. Huh! Tapi jadi rakan komplot la.
            “Okey… Okey!” Arel sekali lagi tergelak kecil.
            “Teruskan.”
            Senyuman di bibir semakin lebar. Dia yang tadinya runsing dan ragu-ragu dengan plan yang akan dilaksanakan berubah fikiran. Dia semakin teruja dan tidak sabar pulak.
            “Plan aku…  Jadikan Comel sebagai pet aku dalam erti kata yang sebenar.”
            Safuan yang bersandar pada dinding spontan menegakkan badan. Jatuh rahangnya apabila mendengar apa yang dikatakan Arel itu. “Pardon?!”
            “Jadikan Comel sebagai pet aku dalam erti kata yang sebenar!”

SEBAIK saja keluar daripada bilik air, Nan berjalan menuju ke arah meja soleknya. Rambutnya yang dibiar lepas disisir. Getah rambut dicapai dan kemudian, rambutnya diikat satu. Setelah penampilannya kemas, bebola matanya bergerak pula memandang kalendar yang di gantung pada dinding sebelah cermin meja solek.
            Nan menyunggingkan senyuman tatkala melihat tarikh dan hari untuk esok. Esok ialah hari Kak Cham dan dua orang kembar itu kembali bertugas. Ini bermakna esok restorannya akan kembali beroperasi. Esok juga dia akan mula bekerja. Tetapi senyuman manisnya semakin pudar dan terus mati tatkala teringatkan sesuatu. Esok juga Arel akan mula bertugas sebagai tukang masak di restorannya. Haish! Tak suka!
            Tombol pintu dipulas dan sebaik saja pintu bilik dikuak luas, wajah Arel yang terpampang di depan mata. Baik Nan mahupun Arel, masing-masing terkejut.
            Arel terkejut tatkala pintu yang ingin diketuk dibuka dari dalam oleh Nan. Nan pulak terkejut kerana hampir saja dia merempuh Arel dan tersembam ke dada lelaki itu.
            “Kau nak apa?” Nan mengusap-usap dadanya dek rasa terkejut tadi. Longar sebentar jantungnya. Ugh!
            Tangan yang diangkat ingin mengetuk pintu tadi dijatuhkan ke sisi. Arel berdehem untuk menghilangkan rasa terkejutnya. “Emm… Kau nak pergi mana?”
            “Nak pergi dapur.”
            “Nak buat apa?”
            “Aku nak buat kek dan cupcake untuk esok. Esok restoran dah boleh dibuka.”
            Nan bergerak ke kanan ingin keluar daripada biliknya tetapi Arel turut bergerak ke kanan. Nan medengus tidak puas hati apabila Arel ternyata ingin menghalangnya. Ketika dia bergerak ke kiri, Arel turut ke kiri membuatkan Nan semakin bengang. Kepalanya didongak memandang tajam wajah selamba Arel.
            “Kau nak apa pulak?”
            “Tak payah buat semua tu.”
            Nan mengerutkan dahi. “Kenapa pulak? Habis esok aku nak bagi pelanggan aku makan apa? Makan batu?” Nan merengus kasar.
            “Esok aku ada hal.”
            “Jadi?” Nan mengangkat kening. Pelik dengan tujuan Arel memberitahu hal lelaki itu esok. Dia tak pernah mahu ambil tahu pun. Tak penting!
            “Jadi aku nak kau buka restoran lusa je. Esok masih cuti.” Arel memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam kocek seluarnya.
                        “Kenapa pulak?” soal Nan tidak puas hati. Ek eleh! Siapa tuan kedai? Aku ke Arel? Aku kan!
            “Yelah aku tak dapat mulakan kerja esok jadi kau tangguhkan la dulu.”
            “Kedai tetap akan beroperasi esok. Kalau kau tak nak mulakan kerja esok, aku tak kisah. Hari selepas itu kau boleh start kan? Tapi kalau kau tak kerja langsung, lagi aku suka!”
            Nan tersenyum sinis sebelum menolak Arel daripada menjadi penghadang di pintu kamarnya. Tetapi usahanya hanya sia-sia kerana lelaki itu langsung tidak berganjak. Tolakannya bagaikan angin saja buat lelaki itu. Nan menjadi semakin geram apabila melihat senyuman memerli Arel di bibir. Huh!
            “Susah sangat ke nak dengar cakap aku?” Arel menyepetkan mata memandang wajah masam Nan.
            “Tak ada maknya aku nak ikut cakap orang yang selalu buli dan sakitkan hati aku.” Sekali lagi Nan tersenyum sinis sambil berpeluk tubuh.
            “Kau nak dengar cakap aku ke tak?”
            “Tak nak!” Jawab Nan keras sambil menggelengkan kepala.
            “Fine!”
            Dengan sekali tolakan, Nan sudah terundur masuk ke dalam biliknya. Terbit senyuman sinis di bibir tatkala melihat wajah Nan yang terkejut dan kemudian berubah merah apabila dia menolak gadis itu. Matanya meliar mencari sesuatu dan akhirnya bebola matanya berpusat pada meja solek Nan. Arel menyungging senyuman nipis tatkala melihat barang yang dicari ada di atas meja tersebut.
            “Eh eh eh! Kau nak buat apa dengan telefon aku?” Bulat mata Nan apabila Arel dengan selamba mengambil telefon bimbitnya.
            Dengan pantas Nan berjalan menuju ke arah Arel. Semakin berbuku rasa geram dan bengang di dalam hati tatkala melihat Arel dengan selamba menyelongkar telefonnya.
            “Bagi balik telefon aku. Bagi balik!”
            Terkapai-kapai tangan Nan ingin mencapai telefonnya yang berada pada tangan Arel. Arel pulak mengangkat tinggi tangannya ke atas membuatkan Nan tidak dapat mencapai langsung telefonnya. Berkali-kali Nan cuba melompat tetapi usahanya hanya sia-sia kerana lelaki itu lebih tinggi daripadanya. Haih! Inilah nasib orang pendek macam aku. Ugh!
            Setelah penat mencuba, Nan berundur setapak ke belakang. Tajam matanya merenung anak mata coklat Arel.
            “Kau nak apa dengan telefon aku? Bagilah balik.” Nan sudah bercekak pinggang berhadapan dengan Arel. Lelaki itu pulak dengan selamba menayangkan wajah polos tanpa perasaan. Huh! Menjengkelkan. Eeee!
            “Aku nak call… Hmm… siapa tu? Oh, ya… Aku nak call Kak Cham. Aku nak suruh dia tak payah datang esok dan untuk selama-lamanya.”
            “Siapa bos restoran? Kau ke aku?” Bibir diketap kuat. Geram yang amat dengan makhluk Tuhan bernama Arel ini.
            “Kau bos. Aku pun bos,” jawab Arel selamba.
            “Sejak bila kau jadi bos? Kau mimpi ke?” Nan senyum sinis.
            “Sejak aku kahwin dengan kau. Sekarang ni rakan kongsi kau bukan lagi Shasha. Rakan kongsi kau sudah bertukar orang dan orangnya ialah aku.” Arel tersenyum menang tatkala melihat riak wajah Nan seakan tidak percaya itu.
            Cis! Kurang asam punya kawan. Shasha ni kenapa? Suka hati dia je nak tukar tempat dengan Arel. Ugh! Kenapa aku tak tahu?
            “Ahhh!!! Aku tak peduli. Aku tetap nak buka restoran esok. Aku tak peduli kau tu bos ke rakan kongsi ke apa ke. I. Don’t. Care.”
            “Hmm… Nak telefon Kak Cham la. Suruh dia kerja balik dengan Shasha. Mesti Shasha sokong aku kan?”
            “Arel…” Meleret suara Nan memberi amaran. Boleh pulak Arel guna nama Shasha. Kalau Shasha sudah masuk campur, tentu saja Arel yang akan menang. Kawannya itu kan selalu menangkan Arel. Eeee! Arel ni memang suka mengugutlah!
            “Apa?” Sebelah kening di angkat tinggi memandang wajah Nan yang tengah merah. Wajah merah Nan sudah terlalu biasa dia lihat. Wajah yang membuatkan gadis itu semakin comel. Kalau marah lagi comel. Ala, pendek kata semua pun comel la!
            “Okey… Okey! Aku tak akan buka restoran esok. Puas hati?” Nan menyilangkan tangan ke dada sambil membuang pandang ke arah lain. Makin bengkak hatinya kalau terus-terusan menatap wajah Arel yang menyakitkan hati. Huh!
            Arel mempamerkan senyuman manisnya. “Good girl!”
            Dengan pantas Nan menepis tangan Arel yang menggosok kepalanya. Ingat dia ni apa? Huh!
            “Telefon aku?” Nan menghulurkan tangan kanannya kepada Arel.
            Tanpa berlengah telefon bimbit ditangan diserahkan kepada Nan. Dengan senyuman dia melangkah keluar daripada  bilik Nan.
            “Oh, ya! Esok malam aku tak pulang rumah. Kunci semua pintu dan jendela rumah. Jangan risau sebab aku akan pulang rumah sebelum kau buka restoran. Dan…” Arel berjeda seketika sambil tangannya diletakkan pada tombol pintu dengan senyuman nakal di pinggir bibir. “Jangan rindukan aku.”
            Arel tergelak kuat dan sinis sambil kakinya melangkah masuk ke dalam kamar tidurnya.
            Nan hanya memandang tajam langkah kaki Arel sehingga lelaki itu hilang dari pandangan mata. “Eeee… Benci!!!”

p/s: again cik penulis lmbat post n3 bru :((( sorry guys... sibuk dengan exams sebulan lbih ni.. btw enjoy reading... bab ni pnjg so hrap dpt tebus ksalhan sbb lmbt post n2 bru ^_^


10 comments:

  1. awww..finaallllyyyyy...new entry.. best n super duper funny...knpe pt akhir ade pengulangan??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thx dear for waiting ^_^ ops x tw plak ada pngulangan kt hjung tu huhu

      Delete
  2. Next entry plzzzz best sangatttt

    ReplyDelete
    Replies
    1. insha allah mnggu dpn akn post n3 bru sbb dh cuti dh huhu.. btw thx for reading dear ^_^

      Delete
    2. You're welcome =)

      Delete
  3. nak lagiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii :D

    Yunita_hutabarat.blogspot.com

    ReplyDelete
  4. Cerita nie mmg akn dihabiskan di sni sje atau akan dibukukan??? =)=)
    btw, cter nie mmg best!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rasanya akn hbis kt cni je kot ^_^

      Delete
    2. Ohh.. mmg hrap hbis sni jugak hehe, lau nk tggu publish lmbt hehe.. cpt2 smbung bg hbis yee.., goodluck =)=)

      Delete
  5. Sambung lagi cepat2 yer :)

    ReplyDelete